Nivas Ragavan

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lunpur dan Selangor (KLSICCI) membantah pelaksanaan yuran kelayakan mikro wajib sebanyak RM300 yang dikenakan ke atas majikan untuk semua program Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDC)yang akan berkuat kuasa 15 Ogos 2022.

Presiden KLSICCI, Nivas Ragavan mahu HRDC mempertimbangkan semula pelaksanaan yuran tersebut kerana ia akan menjejaskan minat majikan untuk menjalankan latihan bagi meningkatkan kemahiran pekerja kerana yuran tersebut akan membebankan aliran tunai kewangan syarikat.

Lagipun, katanya, syarikat-syarikat sudah membayar levi kepada HRDC yang sepatutnya diperuntukkan untuk latihan atau aktiviti peningkatan kemahiran tersebut.

Malah, yuran yang diperkenalkan itu akan menjadi kos tambahan yang kebanyakan syarikat tidak akan mampu menanggungnya.

Sehubungan itu, KLSICCI mencadangkan agar HRDC mengadakan pertemuan dengan semua pemegang kepentingan dari pelbagai sektor untuk mendapatkan pandangan dan cadangan bagaimana aktiviti latihan dijalankan, pada masa yang sama semua pemegang kepentingan juga perlu mengetahui mengapa bayaran tambahan perlu dikenakan.

Menurut beliau, sewajarnya sebelum sebarang pengumuman baharu dibuat, adalah penting bagi HRDC untuk berunding dengan semua pemegang kepentingan tentang baik dan buruk cadangan baharu supaya tiada situasi ketidakpuasan hati atau ketidakselesaan dalam kalangan entiti perniagaan dengan HRDC.

”Adalah penting bagi semua entiti perniagaan untuk mempunyai hubungan rapat dengan HRDC untuk menambah baik dan meningkatkan kemahiran pekerja tempatan kita dan menghadapi kekurangan tenaga kerja semasa yang melampau dalam semua sektor dan subsektor.

“Namun, semasa tempoh pandemik, banyak organisasi perniagaan menghadapi masalah kewangan yang luar biasa dan mereka semua baru pulih daripada wabak tersebut.

“Sebahagian daripada mereka masih dalam proses pemulihan pulih walaupun kita berada dalam senario endemik sekarang. Jadi, mengenakan bayaran sedemikian sama sekali tidak wajar dan ia tidak akan menggalakkan atau membantu mana-mana perniagaan untuk mempertimbangkan sebarang program peningkatan kemahiran,” katanya di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast