KOTA BHARU – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) memberi jaminan untuk terus melawan dan mempertahankan hak rakyat Kelantan daripada ditindas serta ditipu sewenang-wenangnya oleh kepimpinan kerajaan negeri itu.
Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali turut memberi peringatan kepada kerajaan Pas Kelantan mentadbir negeri mengikut perintah Allah, bukan mempermainkan agama untuk kepentingan diri.
Tegas beliau, menganiaya rakyat marhaen dengan menafikan hak mereka sebagaimana berlaku kepada penduduk di Kampung Atas Paloh di sini Rabu lalu, merupakan perbuatan kejam dan zalim.
“Rumah yang mereka jadikan tempat tinggal selama lebih 80 tahun itu diroboh begitu sahaja, tanpa sedikit pun ada rasa simpati dengan nasib penduduk yang kehilangan kediaman.
“Bukan itu sahaja, untuk menunjukkan kononnya kerajaan Pas prihatin, dibayarnya pampasan RM1,000 kepada keluarga berkenaan dengan dua kali bayar iaitu RM500 sebelum rumah dirobohkan dan RM500 lagi selepas roboh.
“Beginikah kerajaan Pas yang mencanang mentadbir secara Islam, memerintah? Konon membangun bersama Islam, tetapi, aniaya rakyat lebih zalim dari zionis,” katanya pada perhimpunan bantah dan protes di Kampung Atas Paloh, di sini, hari ini.
Dalam kejadian Rabu lalu, baki 16 daripada lebih 100 rumah penduduk di kampung itu dirobohkan untuk dibangunkan lebih 400 unit kondominium 15 tingkat.
Sebelum ini, pada Mei 2013, Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berjanji untuk memberikan setiap keluarga sebuah unit kediaman.
Beliau juga berjanji akan menyediakan rumah transit sementara kepada penduduk di situ sepanjang tempoh pembinaan kondominium.
“Namun, apa yang berlaku, kerajaan pimpinan Datuk Ahmad Yakub mungkir janji dan hanya membayar RM1,000 kepada setiap keluarga kononnya sebagai pampasan.
“Mereka ingat duit sebanyak itu penduduk boleh bina rumah? Nak bina reban ayam pun tak cukup. Inilah kezaliman ketara kerajaan yang mendakwa Membangun Bersama Islam.
“Kenapa kerajaan minat tanah ini? Sebab kedudukannya amat strategik, berhampiran Sungai Kelantan dan Padang Merdeka. Sudah tentu nilainya sangay tinggi,” katanya.
Ibrahim berkata, beliau tidak dapat bayangkan jika perkara itu berlaku di negeri yang diperintah oleh DAP di Pulau Pinang.
“Heboh dan bisinglah menuduh kerajaan Pulau Pinang zalim, kejam, tidak berperikemanusiaan dan macam-macam lagi keluar dari mulut pemimpin yang kononnya Islam ini.
“Tetapi, apabila berlaku di negeri yang diperintah oleh Pas, semua senyap. Rakyat hilang tempat tinggal, tanah mereka diambil secara paksa pun dikatakan dianjurkan oleh Islam,” katanya.
Untuk langkah seterusnya, kata beliau, Pergerakan Wira Putra Kelantan akan mempersembahkan surat mohon ampun perkenan Tuanku Sultan Kelantan pada 27 Jun ini agar keluarga berkenaan mendapat pembelaan.
Katanya, sudah dua tahun Putra Kelantan membela keluarga terbabit sehingga membawa kes itu ke mahkamah, tetapi tidak dipatuhi kerajaan negeri.
“Banyak lagi kezaliman berlaku di Kelantan, termasuk isu tanah kebun getah lebih 300 peneroka di Bukit Tandak, Rantau Panjang dirampas dan kecilkan saiznya dari enam kepada tiga ekar untuk dibahagikan kepada penyokong mereka.
“Malang sungguh kehidupan rakyat Kelantan, tetapi Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan Exco bermewah-mewah dengan kereta Mercedes, gaji naik berganda-ganda termasuk elaun dan bonus yang besar,” katanya. – MalaysiaGazette