Nizam tidak dapat menahan sebak memikirkan nasib diri yang serba kekurangan namun perlu menyara dua buah keluarga.

MELAKA – Pilunya hati seorang bapa mengenangkan nasib diri yang serba kekurangan membesarkan sembilan anak selain perlu membantu kedua-dua mentuanya sedangkan diri sendiri dalam keadaan serba kekurangan kerana mengalami pelbagai komplikasi penyakit.

Walaupun reda dengan apa yang berlaku apabila diuji dengan penyakit masalah gelinciran tulang belakang (slip disc), penyakit usus, sawan, darah tinggi dan kolestrol yang dihidapi, Nizam Tamby, 49, mengakui, sesekali masih terbit perasaan kesal untuknya menerima kenyataan itu.

“Saya fikir kehidupan saya macam dah tiada (ertinya), tak macam sebelum kemalangan saya sihat dan kuat ada kudrat ntuk bekerja berbanding sekarang nak berdiri lebih 10 minit pun tak mampu.

“Sedih tu kadang-kadang ada sebab nasib diri tak macam orang lain, boleh (mampu) hantar anak ke kelas tambahan, tapi saya harap anak belajar di rumah.

“Tengok muka sembilan anak rasa sedih memikirkan masa depan mereka takut jadi susah begini,” katanya sebak ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Limbongan Permai, Lorong Pandan di sini.

Bercerita lanjut, penjawat awam yang bekerja sebagai pembantu operasi dengan gaji RM1,500 sebulan itu berkata, kehidupannya berubah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2019 menyebabkan kesihatannya semakin merosot.

“Kesan kemalangan itu menyebabkan kecederaan dalam kepala, tulang belakang retak manakala tulang rusuk kanan dan kiri juga patah dan semakin merosot apabila mengalami penyakit ‘slip disc’ sampaikan nak dukung anak pun tak larat.

“Setahun kemudian, kesan kemalangan menyebabkan saya mengalami masalah usus dan kesan pembedahan mengambil air tulang sum-sum membuatkan saya terpaksa memakai alat sokongan tulang belakang kerana tidak mampu berdiri lama,” katanya.

Sukarelawan Bencana Melaka menghulurkan bantuan bencana kepada Nizam (dua dari kiri) dengan memasang dua buah khemah baharu menggantikan khemah lama yang rosak akibat dipukul ribut.

Malah jelas Nizam, pernah berlaku dia seperti diserang sawan dan pertuturannya juga terketar-ketar menyebabkannya sukar melakukan pekerjaan lain yang lebih sesuai untuk menampung keperluan dua buah keluarga termasuk menjaga ibu bapa mentuanya yang sakit.

“Mujurlah juga, isteri, (Norehan Nikmat, 35), dapat membantu membuka gerai makan di depan rumah namun pendapatan yang diperolehi juga sekadar cukup makan bagi menampung makan minum harian kerana gaji saya yang banyak digunakan untuk menjelaskan hutang.

“Pendapatan yang ada itu memang cukup-cukup untuk belanja makan dan anak-anak yang masih bersekolah berusia 16 hingga 6 tahun, “katanya yang kematian isteri pertama dan dikurniakan lima orang anak.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Nizam boleh berbuat demikian melalui akaun Ambank 8881036466628.

Ashwad Abd Rahim

Sementara itu, kepayahan hidup dihadapi Nizam dan keluarganya turut mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sukarelawan Bencana Melaka yang turun padang menghulurkan bantuan apabila khemah gerai makanan keluarga itu musnah dalam kejadian hujan lebat dan ribut, Rabu lalu.

Presidennya, Ashwad Abd Rahim berkata, pihaknya menyumbang dua set khemah bersaiz 10×10 dan 10×15 selain bantuan tunai dan makanan asas untuk meringankan beban ditanggung ketua keluarga itu.

“Sebaik saja mendapat tahu kejadian ini dua hari lepas, sukarelawan kita terpanggil untuk segera membantu menghantar bantuan ini selain melakukan pembersihan tapak gerai makanan di hadapan rumahnya.

“Selebihnya, kita akan melihat apakah keperluan lain termasuk ubat (rawatan) untuk masalah tulang belakang kami akan cuba bantu untuk cari pakar membantunya setakat mana diperlukan,” katanya. – MalaysiaGazette