Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

KUALA LUMPUR – Hampir keseluruhan kawasan serangan ulat bungkus melebihi 15,000 hektar termasuk kawasan pekebun kecil di sekitar Hilir Perak kini bebas daripada ancaman serangga itu.

Ia hasil pemantauan dan data bancian yang direkodkan pada suku pertama tahun 2022.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, ia bersama agensi- agensi lain yang mengganggotai Jawatankuasa Bertindak Kawalan Ulat Bungkus telah meningkatkan usaha kawalan serangan ulat bungkus di ladang-ladang dan kawasan tanaman sawit pekebun kecil di Hilir Perak.

Jawatankuasa Bertindak Kawalan Ulat Bungkus Hilir Perak ditubuhkan pada 2018 yang melibatkan penyertaan wakil ladang-ladang di Gugusan FELDA Besout, Ladang Air Kuning (PPPNP), Ladang Untuk Rakyat (PPPNP), Ladang Pahlawan (PPPNP), Ladang Selinsing (PPPNP), Ladang MAIPK Sungkai, Ladang RISDA Serigala, Southern Perak Plantation (SPP), Ladang Ulu Basir (UP Plantation), Dominion Rubber, Sri Gandar Plantation, Ladang Tumbuh (PPN), FELCRA Seberang Perak, YP Nomines Holding dan wakil pekebun kecil.

Selain itu, jawatankuasa ini juga dianggotai oleh pegawai dari Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian Malaysia bagi memantau pelaksanaan Akta 167 Serangga Perosak Berbahaya bagi perosak ulat bungkus ini.

Penubuhan Jawatankuasa Bertindak dan kerjasama Pengurusan Felda Wilayah Trolak berjaya mencapai pengurangan sehingga 97 peratus kawalan serangan ulat bungkus di Felda Gugusan Besout.

Pengurangan populasi ulat bungkus melebihi 95 peratus turut dilaporkan di Ladang MAIPK Sungkai, Ladang RISDA Serigala, Southern Perak Plantation (SPP), Ladang Gugusan Air Kuning serta kawasan pekebun kecil persendirian.

”Majoriti kawasan yang mengalami serangan ulat bungkus kini telah bebas daripada ancaman tersebut. Populasi ulat bungkus di kawasan tanaman sawit Hilir Perak telah menurun di bawah nilai ambang kerosakan ekonomik. Kerjasama serta komitmen ahli-ahli Jawatankuasa Bertindak telah memberi impak yang amat besar dalam kejayaan menangani serangan ulat bungkus di Hilir Perak,” kata Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Menurut MPOB, Jawatankuasa Bertindak Kawalan Ulat Bungkus Hilir Perak menjalankan pemantauan secara berkala untuk mendapat status terkini serangan ulat bungkus serta kawalan bagi ladang dan kawasan tanaman sawit pekebun kecil persendirian.

Selain itu, antara aktiviti yang turut dijalankan di bawah program Jawatankuasa Bertindak melibatkan lawatan dan pemeriksaan setiap tiga bulan oleh MPOB ke ladang-ladang yang mengalami serangan ulat bungkus bagi memastikan pihak pengurusan ladang mengambil langkah kawalan sewajarnya dalam menangani ancaman serangga perosak tersebut.

Ladang-ladang yang tidak berjaya menurunkan kadar serangan ulat bungkus akan melaporkan kepada jawatankuasa untuk pelaksanaan langkah-langkah penyelesaian selanjutnya.

Beliau berkata, antara pendekatan yang disarankan oleh MPOB dalam kawalan ulat bungkus ialah kaedah pengurusan perosak bersepadu atau Integrated Pest Management (IPM) yang mesra alam.

Penekanan juga diberi dalam pemantauan dan bancian populasi ulat bungkus secara berterusan di ladang yang merupakan kunci utama dalam memastikan populasi ulat bungkus dapat dikawal, katanya.

Tambah beliau, strategi kawalan berkesan yang melibatkan jangka panjang seperti penanaman tumbuhan bermanfaat di ladang-ladang sawit perlu dilaksanakan oleh semua pihak.

”Untuk kawasan pekebun kecil sawit persendirian, MPOB membekalkan tanaman bermanfaat secara percuma. MPOB juga menjalankan bancian populasi ulat bungkus, semburan bioinsektisid menggunakan dron, suntikan batang serta pemasangan perangkap feromon semula jadi yang dilaksanakan secara percuma,” ujarnya. – MalaysiaGazette