Golongan belia yang hadir pada Karnival Kerjaya Barisan Nasional (BN) 2022 di Dewan Tun Razak World Trade Centre, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 25 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Penganjuran Karnival Kerjaya Belia Barisan Nasional (BN) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)  merupakan salah satu platform terbaik mengatasi isu pengangguran kesan daripada pandemik.

Ia bermula 24 hingga 26 Jun ini.

Memandangkan negara mula beralih ke fasa endemik sejak 1 April lalu, penganjuran karnival kerjaya bermula 24 sehingga 26 Jun ini dilihat bertepatan kerana banyak syarikat mula mencari tenaga mahir dan separuh mahir untuk memulihkan ekonomi masing-masing.

Golongan belia yang hadir pada Karnival Kerjaya Barisan Nasional (BN) 2022 di Dewan Tun Razak World Trade Centre, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 JUN 2022.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, bukan sahaja mereka kehilangan pekerjaan ketika pandemik bahkan ramai graduan yang masih tidak mendapat tempat dalam industri berkunjung ke karnival berkenaan.

Menurut seorang pelajar jurusan sains komputer, Muhammad Al-Waliy Ismail, 25, karnival kerjaya seperti itu sangat dialu-alukan kerana anak muda mudah untuk mengenali dan berhubung terus dengan majikan.

“Bila buat program besar macam ini, anak-anak muda ada peluang untuk mencari pekerjaan. Karnival ini kena dengan waktu sekarang ini kerana ramai menganggur bahkan lepasan universiti masih mencari pekerjaan yang kurang ketika ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagi seorang pelajar pasca siswazah, Nur Sabrina Syazwani Mazlan, 25, dia antara ribuan graduan yang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian di peringkat ijazah pada dua tahun lalu.

Golongan belia yang hadir pada Karnival Kerjaya Barisan Nasional (BN) 2022 di Dewan Tun Razak World Trade Centre, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 JUN 2022.

“Masa itu Covid-19 baru terjadi, saya ada dugaan agak besar untuk mencari peluang pekerjaan pada masa itu. Sekarang bila ada banyak inisiatif begini, memang saya akan terus nak cari peluang pekerjaan secepat mungkin,” katanya.

Ditanya tentang carian pekerjaan antara secara dalam talian berbanding bersemuka, dia mengakui peluang mengenali majikan dan diambil bekerja lebih tinggi melalui karnival kerjaya seperti itu sangat efektif.

Pengunjung yang hadir menghantar resume pada Karnival Kerjaya Barisan Nasional (BN) 2022 di Dewan Tun Razak World Trade Centre, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 JUN 2022.

“Ada kelebihan dan kekurangannya, kalau online ini senang, kita duduk sahaja di situ dan kita cari tapi tak semua syarikat yang kita tahu (tawar peluang pekerjaan).

“Bila datang ke karrnival kerjaya seperti ini, kita tak pernah dengar tentang syarikat ini pun, rupanya mereka pun mencari orang-orang seperti kita fresh graduate.

“Jadi ia membuka peluang pekerjaan dengan lebih besar daripada kita setakat cari pekerjaan melalui online di laman-laman carian kerja,” katanya.

Golongan belia yang hadir pada Karnival Kerjaya Barisan Nasional (BN) 2022 di Dewan Tun Razak World Trade Centre, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 JUN 2022.

Sementara itu, seorang graduan jurusan sains makanan pula, Afiqah Amirah Ahmad Junait, 24, karnival kerjaya seperti ini tidak akan dilepaskannya lebih-lebih ketika ramai yang menganggur akibat pandemik Covid-19.

“Saya akan ambil semua peluang yang ada untuk datang ke sini, sebab kalau nak tunggu permohonan online susah dan sangat lama nak tunggu.

“Saya datang ke sini nak jumpa terus dan ditemuduga dengan majikan, saya fikir ia peluang terbaik untuk datang ke sini. Saya pula baru tamat pengajian tahun lepas, dari situ saya cari peluang pekerjaan, tapi lebih enam bulan masih tiada peluang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette