Dr. Ibrahim mencabar kerajaan Pas Kelantan tampil menafikan dakwaan Husam.

PASIR MAS – Dakwaan kerajaan Pas Kelantan telah meluluskan kira-kira 600,000 ekar tanah pembalakan kepada orang asing sejak memerintah lebih 30 tahun lalu, amat serius.

Justeru, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menggesa Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub tampil untuk menafikan dakwaan yang dibuat oleh Pengerusi NGO Save Kelantan, Datuk Husam Musa.

Beliau juga mencabar Ahmad, timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah dan kerajaan negeri menyaman Husam sekiranya dakwaan itu tidak benar.

“Husam mendakwa sepanjang Pas berkuasa di Kelantan sejak 1990, sekitar 600,000 ekar tanah pembalakan sudah diluluskan dan tanah itu diluluskan pajakan pada orang asing selama 60 hingga 99 tahun.

“Jika tuduhan itu tidak betul dan fitnah, sila ambil tindakan undang-undang.

“Dahulu setakat pembalakan yang merosak alam sekitar, tetapi kini tanah juga tergadai kepada orang asing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana Putra Siri Tsunami Politik Kebangkitan Rakyat Kelantan di Markas Putra DUN Pengkalan Pasir, dekat sini, malam tadi.

Penduduk Pasir Mas sudah ramai menyertai Putra dan bersama masyarakat tempatan hadir mengikuti ceramah perdana Putra siri tsunami politik kebangkitan rakyat Kelantan di Markas Putra DUN Pengkalan Pasir malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden Putra, Datuk Dr. Aziz Jamaluddin Mhd. Tahir; Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif; dan Penasihat Undang-Undang Putra Kelantan, Nasir Abdullah.

Menurut Dr. Ibrahim, pentadbiran Pas sekarang lebih buruk dari peristiwa zaman bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Asri Muda pada 1978 yang menyebabkan rusuhan rakyat dan Pas hilang kuasa.

Katanya, sejarah telah berulang kembali dan pemimpin kerajaan Pas Kelantan sudah hilang pedoman, gila kekayaan serta rakus kuasa.

“Rakyat tidak terbela, tertindas sehingga berlaku kezaliman dan tidak ada sifat kemanusiaan. Tanah rakyat diambil, kediaman rakyat dimusnah dan rakyat dibebankan pula dengan kenaikan pelbagai cukai.

“Apa jasa kerajaan kepada rakyat? Isu air berlarutan, masalah banjir gagal diatasi, kadar pengangguran tinggi dan pendapatan rakyat semakin teruk.

“Ianya sudah menjadi cerita ‘Kelantan indah khabar dari rupa’ dan ‘ku sangka bidadari, rupanya hantu raya’,” katanya dalam nada sindiran.

Beliau turut menjawab soalan Mohd Amar, sekiranya rakyat tolak Pas pada PRU 15 ini, siapa lagi layak menggantikan parti itu untuk memerintah Kelantan.

Ujarnya, Putra yang layak ganti Pas Kelantan dan senario itu mula nampak apabila rakyat mahukan parti yang benar-benar dapat membela mereka dan mengotakan janji.

“Nampaknya Mohd Amar kelu untuk menyatakan Putra lah pilihan rakyat Kelantan. Majoriti rakyat nak bagi kepada Tok Him, sebab bukti sudah banyak, apa yang Tok Him cakap, Tok Him tunaikan. Tidak cakap kosong seperti semua pemimpin Pas.

“Kelantan akan jadi negeri tersohor di persada dunia jika rakyat bagi peluang kepada Putra PRU-15 ini. Kelantan pasti maju dan rakyat sejahtera.

“Rakyat Kelantan tidak mungkin kembali kepada UMNO kerana serik dengan pengalaman lalu, tambah pula UMNO sekarang bukan sama dengan UMNO dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.