Gambar hiasan

ISU jaminan keselamatan makanan negara adalah isu kritikal yang memerlukan perhatian, tindakan dan penjajaran semula oleh pihak kerajaan, dengan sokongan oleh pemegang-pemegang taruh dałam industri dan tidak terkecuali, pengguna. Untuk menangani isu jaminan keselamatan makanan, kebergantungan negara terhadap import hendaklah dikurangkan, sama ada import makanan mahupun import bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan makanan di dalam negara.

Strategi ini memerlukan perancangan yang menyeluruh, penglibatan pelbagai agensi, institusi penyelidikan/universiti dan industri dan akan mengambil masa. Sehubungan itu, menjadi satu keperluan yang amat mendesak supaya kerajaan bersegera dalam menggerakkan dan memudah cara usaha ini.

Strategi mengurangkan kebergantungan terhadap import bermaksud sektor pertanian tempatan hendaklah diberi keutamaan sewajarnya. Peranan sains, teknologi dan inovasi sangat kritikal untuk memajukan sektor ini sehingga mampu menjadikan Malaysia mandiri dalam keselamatan makanannya.

Untuk menjayakan hasrat ini, ekosistem yang kondusif hendaklah diwujudkan oleh kerajaan untuk memastikan perjalanan yang lancar dan berkesan sehingga dapat membuahkan hasil yang dihasratkan. Pelaksanaan yang profesional dan telus dapat mengelakkan berlakunya dominasi apatah lagi ketirisan dan salah laku oleh pihak-pihak berkepentingan yang akhirnya bakal merugikan negara.

Daya tahan rakyat negara ini pula perlu ditingkatkan untuk menyiapkan mereka dengan pelbagai kemungkinan yang mungkin berlaku dalam dunia yang semakin tidak menentu. Ini termasuklah dengan:

1. Berbelanja secara berhemah dan membuat simpanan (menabung) sebagai persediaan bagi menghadapi situasi-situasi sukar, khususnya golongan yang bekerja di sektor tidak formal dan dalam ekonomi gig.

2. Mengamalkan amalan pemakanan yang sihat, seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia seperti mengurangkan penggunaan gula, krimer, makanan tinggi karbohidrat dan lain-lain lagi.

3. Mengelakkan pembaziran makanan
Dalam masa yang terdekat, bantuan bersasar hendaklah disalurkan oleh pihak kerajaan kepada golongan yang memerlukan, mengambil kira faktor-faktor yang membezakan kos sara hidup berdasar kedudukan geografi, saiz isi rumah dan lain-lain.

Mohammad Abdul Hamid
Ketua Kluster Kemakmuran Ekonomi
Pertubuhan IKRAM Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast