Keluarga Zaidi Hassan terpaksa mengangkut air dari paip di luar rumahnya kerana tekanan rendah.

KUANTAN – Kira-kira 5,700 penduduk Kampung Bukit Kuin menarik nafas lega apabila masalah tekanan air perlahan yang dihadapi sejak 35 tahun akan berakhir apabila sistem bekalan air di kawasan ini dinaiktaraf.

MalaysiaGazette difahamkan tekanan air meruncing pada waktu siang kerana kebiasaannya air tidak naik ke tangki terutama di kawasan atas bukit.

Kos menyelesaikan masalah penduduk kampung ini dianggarkan sebanyak RM5.7 juta, dijangka siap pada April tahun depan.

Penduduk, Rakiah Saman, 70, berkata, langkah menambah baik bekalan air itu akan mengakhiri episod memunggah air sebelum Subuh oleh keluarganya.

Rakiah Saman

“Sebelum ini masalah air bersih dihadapi penduduk kampung berkenaan tidak pernah selesai. Kita terpaksa menadah air kerana bekalan air tidak mencukupi bagi kegunaan semua penduduk.

“Kami penduduk di sini berhadapan dengan masalah tekanan air rendah yang memaksa saya dan keluarga  menadah air seawal jam 3 pagi kerana pada waktu itu sahaja air dapat naik ke kawasan rumah,” katanya yang gembira dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Pahang.

Sementara itu, Wan Mohd Faizal Wan Ibrahim, 37, mengakui kehidupan keluarga sukar kerana terpaksa berdepan bertahun-tahun dengan masalah air kecil.

Walaupun penduduk menerima bantuan bekalan air melalui lori pada siang hari namun pendekatan itu tetap memberi tekanan kepada penghuni kampung.

 

Wan Mohd Faizal Wan Ibrahim

“Saya yang mempunyai keluarga besar menghdapi sedikit kesukaran kerana penggunaan air yang banyak pada setiap hari bagi kegunaan harian.

“Jadi saya terpaksa menyediakan beberapa tong untuk menyimpan air, selain  perlu berjimat cermat menggunakan air,” ujarnya.

Manakala bagi Zaidi Hassan, 56, menghargai usaha kerajaan negeri menyelesaikan masalah yang menghantui keluarga dan penduduk kampung.

Katanya, selama ini dia terpaksa mengangkut air dari rumah jiran kerana tekanan air ke rumahnya sangat kecil.

“Elok sangatlah sebab kita difahamkan tangki dan saluran paip di bawah tanah juga sering pecah menjadi punca kepada catuan air dan air perlahan di kawasan ini,” tambahnya yang mengakui 35 tahun adalah masa yang panjang kepada penduduk Bukit Kuin.

Untuk rekod, lebih 100 laporan kebocoran paip dilaporkan di kampung terbabit, dipercayai berpunca sistem saluran paip lama telah dilaporkan sejak dua tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast