PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat serbuan ke atas 194 pusat hiburan yang dikaitkan dengan aktiviti penyalagunaan dadah di seluruh negara dari Januari hingga Jun tahun ini.

Setiausaha Polis Malaysia, DCP Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, di ibu negara sahaja sebanyak 55 serbuan telah dilakukan bagi tempoh yang sama.

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM telah merampas sebanyak 5,135 gram pelbagai jenis dadah dan 450 liter pelbagai jenis cecair dalam serbuan yang dilakukan di Kuala Lumpur.

“Sebanyak 124 kes dengan seramai 160 orang berjaya ditangkap di bawah pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata demikian berikutan pendedahan yang dibuat oleh Pertubuhan Prihatin Jenayah Komuniti (MCCC) bahawa terdapat 15 pusat hiburan yang didakwa menjadi pusat pengedaran dadah di ibu negara.

Noorsiah berkata, bagi 194 serbuan di seluruh negara pula, sebanyak 9,208.81 gram pelbagai jenis dadah dan 450 liter pelbagai jenis cecair dadah telah dirampas.

Serbuan itu membabitkan 449 kes dengan 504 orang ditangkap di bawah pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, JSJ turut melakukan 995 serbuan dalam Op Noda di lokasi yang melibatkan aktiviti maksiat seperti di rumah urut, hotel serta pusat hiburan.

Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini seramai 2948 orang yang terlibat dalam aktiviti persundalan telah ditangkap.

“Di Kontijen Kuala Lumpur sebanyak 420 serbuan telah dijalankan dengan tangkapan seramai 1,115 orang bagi tempoh berkenaan.

“Selain itu 55 serbuan juga telah dibuat melalui Op Bersepadu bersama lain-lain jabatan PDRM dengan tangkapan seramai 177 orang,” kata Noorsiah.

Beliau menegaskan, dalam membanteras aktiviti haram, PDRM sentiasa menjalankan risikan dan pemantauan terhadap laman sosial atau aplikasi yang dikesan mengiklankan aktiviti persundalan.

PDRM turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memantau laman sesawang internet bagi menyekat aktiviti tidak bermoral berkenaan.

Noorsiah berkata, PDRM sentiasa terbuka untuk menerima sebarang maklumat aktiviti penyalahgunaan dadah serta mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak dalam membenteras penyalahgunaan dadah dan maksiat. – MalaysiaGazette