Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Pengerusi Pemuda Barisan Nasional, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Kerjaya Barisan Nasional (BN) Youth Job Fair di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 26 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan bertemu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Jaafar untuk berbincang dan menangani masalah kebankrapan dalam kalangan orang muda.

Perdana Menteri berkata, beliau bimbang setelah melihat jumlah individu yang bankrap ketika ini terutama melibatkan golongan muda.

Katanya, nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan perlu dilihat dan dikaji semula.

“Kerajaan pernah menaikkan threshold (ambang) sewaktu pandemik dulu untuk menangguhkan undang-undang yang melibatkan kebankrapan dan threshold telah dikaji semula.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Undang-Undang (Wan Junaidi) untuk melihat akta undang-undang tersebut,” katanya ketika berucap dalam Majlis penutup Program BN YOUTH Fair di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurut Ismail Sabri, beliau juga akan berjumpa dengan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, untuk melihat dari segi undang-undang jika boleh ditangguhkan lagi.

Pada 2020, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2020 bagi meminda nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan.

Pindaan itu membolehkan nilai ambang berkenaan dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000.

Ia sekali gus menjadikannya lebih responsif dan komprehensif terhadap keperluan serta isu semasa berkaitan insolvensi. – MalaysiaGazette