Dr Sathia Prakash Nadarajan.

KUALA LUMPUR – “Saya ini orang baharu, sebelum ini lebih banyak berkecimpung dalam dunia perubatan dan ia begitu jauh dari dunia politik.

“Bila bertanding kali pertama, memang nampak begitu banyak cabaran. Saya sungguh terkejut.”

Itu antara luahan Ketua Cabang Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan  yang menang jawatan itu sekaligus mengalahkan penyandang sebelum ini yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow bulan lalu.

Dr Sathia yang juga pengasas rangkaian klinik Kumpulan SP Care turut menceritakan bagaimana dirinya serta pasukan dikenali sebagai DRSP itu melalui pelbagai cabaran serta isu saat akhir bagi mengagalkan dirinya menang sebagai ketua cabang parti.

“Ramai sedang tunggu saya bersuara sejak sebulan ini. Banyak juga yang ambil pendekatan tunggu dan lihat terlebih dulu. Saya boleh ingat empat cabaran atau isu yang sebenarnya mengejutkan saya, saya tidak sangka sehingga begini sekali pemilihan parti.

“Tetapi akhirnya, suara ahli-ahli serta masyarakat setempat yang mahu saya serta pasukan saya menang jadi kenyataan juga. Saya belum dapat watikah lagi secara rasmi tapi rasanya kita menang. Walaupun ada bantahan tetapi jika kita tidak buat salah, apa yang hendak di risaukan betul tak?” soalnya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Dr Sathia Prakash bersama lebih 400 penyokong serta pimpinan PKR pada majlis penghargaan di Royal Lake Club baru-baru ini.

Kata Dr Sathia, antara cabaran-cabaran itu termasuklah bagaimana lebih 900 keahlian PKR tidak berjaya didaftarkan di Hulu Selangor atas alasan alamat sama atau perkara lain.

“Ramai yang mungkin tidak tahu, bila saya buat keputusan untuk bertanding bersama line up saya, pasukan kita telah mendaftar lebih 2,000 ahli baharu tetapi daripada jumlah itu, dalam 900 lebih telah ditolak atas pelbagai sebab.

“Kecewa tidak? Lebih 900 telah ditolak. Ahli baharu yang mahu mendaftar ditolak selepas 31 Januari. Itu cabaran pertama tapi itu tidak patahkan semangat.

”Cabaran kedua pula, ketika pendaftaran aplikasi Adil kita kerja siang malam daftar pengundi. Juga hampir 2,000 ahli tetapi apabila tiba masa pengundian online, lebih 400 penyokong atas alasan tertentu tidak jadi beri sokongan pada saat-saat akhir. Pelik juga kerana angka itu sangatlah banyak.

“Normal apabila ada yang tidak mahu beri sokongan tetapi dalam masa yang begitu cepat sebanyak 400 ahli tidak mahu beri sokongan? Pelik bukan? Kerana saya tidak terfikir orang boleh swing secara mendadak,” ujarnya.

Kemudian pada hari pemilihan, tempat yang telah dipilih dari awal-awal lagi tidak disediakan bagi proses pembuangan undi dan tidak ada persiapan sehingga memaksa JPP tangguh proses undian ke tarikh lain.

Pengundi sudah sampai tapi di suruh balik datang hari lain. Saya pun tidak faham, katanya.

Sambung beliau, isu tidak berhenti setakat itu di mana dirinya dan pasukannya masih lagi berdepan dengan isu pada saat-saat pengundian kali kedua itu.

“Kali keempat, kita dapat surat yang menyatakan pemilihan akan diadakan di Ulu Bernam. Ketika kita sedang buat persiapan, tetiba dapat pula makluman lokasi itu telah di batalkan atas alasan tempat itu telah di sewa untuk majlis perkahwinan.

“Kemudian kita pindah ke Kalumpang. Apabila akhirnya kita beralah dan bersedia untuk pemilihan timbul pula cerita kononya itu adalah kubu kuat dan segala macam, saya terkejut. Apa lagi fikir saya.

“Bagaimanapun, semua ini telah kita jadikan sebagai cabaran dan bukan alasan untuk kita semua berputus asa. Ini adalah pengalaman untuk mendepani Pilihan Raya Umum kelak yang lebih besar ujiannya nanti, ketika itu kita semua perlu bersatu dan menangkan PKR secara keseluruhan.

“Jika ada yang fikir apa sahaja yang berlaku ini mampu mengagalkan saya, saya rasa ini saya kutip sebagai pengalaman berharga kerana saya hadir sebagai suara warga Hulu Selangor untuk Hulu Selangor,” tegasnya. – MalaysiaGazette