Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo selepas hadir bagi permohonan kes nusyuz terhadap isterinya Zaharah Kechik ketika di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam. Foto, MOHD ADZLAN 27 JUN 2022.

SHAH ALAM – Mahkamah Rendah Syariah memerintahkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo dan isterinya, Zaharah Kechik melantik hakam Islah masing-masing bagi kes perceraian mereka.

Hakim Syarie, Mohd. Nizar Mohtar mengeluarkan perintah itu selepas Jawatankuasa Pendamai (JKP) didapati gagal mencapai perdamaian antara kedua-dua pihak.

“Laporan JKP gagal didamaikan. Tujuan perkahwinan adalah untuk bersenang-senang antara suami isteri dan saling memerlukan antara satu sama lain.

“Tinggal sebumbung tapi tidak tinggal bersama dan sudah pastinya tanggungjawab antara kedua-dua pihak tidak dapat ditunaikan.

“Seorang isteri perlu menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dan suami juga perlu menunaikan tanggungjawabnya kepada isteri.

“Untuk tidak berlanjutan, saya sabitkan shiqaq telah berlaku pihak-pihak. Jadi saya terus ke Seksyen 48, Enakmen 2, Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 untuk pihak-pihak membawa wakil hakam masing-masing,” kata Hakim Syarie ketika membuat perintah itu di Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamad Khir dan Zaharah, masing-masing berusia 57 tahun, tiba di mahkamah itu dengan diiringi peguam masing-masing, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Sementara itu, peguam mewakili Zaharah, Datuk Dr. Mohd. Zaidi Mohd Zain berkata, anak guamnya memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen 2, Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 pada 24 Februari lalu.

“Selepas mendengar laporan JKP, mahkamah hari ini mendapati berlaku shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan dalam rumah tangga kedua-dua pihak.

“Anak guam saya dan defendan perlu melantik hakam Islah iaitu wakil lelaki daripada keluarga masing-masing untuk berbincang dan kemudian menyerahkan laporan perbincangan kepada mahkamah,” katanya.

Sementara itu, peguam Siti Elly Jasmin Aminuddin yang mewakili Mohamad Khir berkata, pihaknya akan menamakan hakam Islam pada tarikh yang ditetapkan mahkamah.

“Satu perbincangan akan turut dilakukan antara hakam-hakam Islah pada hari berkenaan.

“Sepanjang prosiding kes ini, kita akan melihat isu shiqaq itu sebenarnya berpunca daripada siapa,” katanya.

Mahkamah menetapkan 14 Julai ini sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette