Jepun menyaksikan penurunan populasi 12 tahun berturut-turut. Foto Kyodo News

TOKYO – Kerajaan Jepun menggesa penduduk di Tokyo dan kawasan sekitarnya untuk mengurangkan penggunaan elektrik serta memberikan amaran bekalan itu akan disekat kerana negara ini bakal menghadapi gelombang panas.

Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Perindustrian berkata, orang ramai harus mematikan lampu yang tidak diperlukan tetapi dibenarkan untuk menggunakan pendingin hawa bagi mengelakkan strok haba.

Jelas kementerian itu, sejak berminggu-minggu amaran telah dikeluarkan tentang gangguan kuasa apabila suhu menunjukkan peningkatan.

Pada hujung minggu baru-baru ini, suhu di Tokyo meningkat melebihi 35 darjah Celcius, manakala di bandar Isesaki, barat laut ibu negara itu mencatatkan rekod setinggi 40.2 darjah Celcius.

Itu adalah suhu tertinggi yang pernah direkodkan pada bulan Jun untuk Jepun.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, kementerian itu berkata, kapasiti penjanaan yang berlebihan untuk elektrik dijangka menurun kepada 3.7 peratus pada petang Isnin di Tokyo dan lapan wilayah di sekitarnya.

Ia dilihat sebagai penimbal sebanyak 3.0 peratus seperti yang diperlukan untuk bekalan kuasa yang stabil.

Lantaran itu, kerajaan meminta orang ramai untuk mematikan lampu yang tidak diperlukan selama tiga jam dari 3 petang waktu Tokyo (14:00 GMT+8).

Walaupun pembekal elektrik berusaha meningkatkan bekalan, kementerian berkata, keadaan tidak dapat diramalkan apabila suhu meningkat.

“Jika terdapat peningkatan dalam permintaan dan masalah bekalan secara tiba-tiba, margin rizab akan jatuh di bawah minimum yang diperlukan sebanyak 3%,” katanya.

Bekalan kuasa Jepun telah terhad sejak gempa bumi di wilayah timur lautnya pada Mac lalu memaksa beberapa loji tenaga nuklear untuk menangguhkan operasi.

Awal Jun lalu, Kerajaan Jepun menyeru isi rumah dan syarikat untuk menjimatkan tenaga elektrik sebanyak mungkin semasa musim panas.

Sementara itu, NHK melaporkan, setakat petang Ahad, seramai 46 orang di Tokyo telah dimasukkan ke hospital kerana disyaki mengalami strok haba.

Dalam laporan sama juga, seorang lelaki berusia 94 tahun di bandar Kawagoe meninggal dunia akibat cuaca panas. – BBC