Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – UMNO tidak mempunyai krisis dalaman, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berhubung isu pengguguran ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Malah jelas Mahdzir, pengguguran Tajuddin tidak boleh dipandang sebagai isu kerana tindakan itu tidak mencerminkan wujudnya puak tertentu di dalam parti tersebut.

“Tidak ada apa-apa krisis, kalau nak krisis, ia akan jadi puak, jadi pasukan, itu baru lah krisis, ini tidak jadi puak apa-apa pun,” katanya mengulas mengenai pemecatan Tajuddin minggu lalu.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan melalui surat memaklumkan Tajuddin digugurkan daripada MKT UMNO.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan secara terperinci apakah sebab Tajuddin digugurkan.

Jawatan tersebut telah diganti oleh Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil yang mengangkat sumpah pada Jumaat.

Susulan itu, pelbagai spekulasi timbul termasuk yang mengaitkan wujudnya perpecahan dalam kalangan pucuk pimpinan UMNO. – MalaysiaGazette