Para pelajar UTeM sewaktu penghantaran sangkar-sangkar tersebut di Taman Seri Bayan, Melaka.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan inovasi mereka dengan membina sangkar kitar semula bagi tujuan kegunaan komuniti kawasan perumahan setempat.

Ianya dikendalikan menerusi projek Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) FKP 2022 yang merupakan salah satu usaha menggalakkan khidmat komuniti yang berkaitan dengan apa yang telah dipelajari oleh pelajar kepada orang awam atau agensi.

Projek SULAM FKP 2022 yang berfokuskan kepada fabrikasi sangkar kitar semula ini telah dibangunkan oleh seramai 20 orang pelajar tahun 4, program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan kepujian, kata satu kenyataan UTeM.

Bagi memudahkan pengurusan projek berjalan dengan lancar dan efisien maka ianya telah digerakkan menerusi 4 kumpulan iaitu kumpulan pengurusan merangkap ketua projek diketuai Noreen Aqilla Kamaruzaman dan kumpulan fabrikasi pula diketuai oleh Choy Jung Hong.

Sementara itu kumpulan rekabentuk diketuai oleh Muhammad Afiq Sharum manakala kumpulan analisa kos bahan pula diketuai Mohamad Raziq Babjan Khan.

Mengulas pengalaman menjalankan projek ini, Noreen Aqilla, 24, berkata, kami teruja untuk menjayakan projek ini kerana platform ini membolehkan kami mengaplikasikan ilmu prosess pembuatan yang dipelajari hingga terhasilnya produk yang terus boleh digunakan.

Ujarnya, silibus pembelajaran kami rujuk dan guna pakai pula adalah selaras dengan keperluan industri dan sesuai dengan peredaran teknologi masa kini dan ianya memberikan pengalaman menarik.

“Perjalanan proses projek ini mengaitkan kami seolah-olah berdepan dengan permasalahan sebenar bagi menghasilkan produk akhir dan jelas dan nyata FKP UTeM berjaya mendedahkan para pelajarnya kepada dunia sebenar industri dan masyarakat.

“Di samping itu FKP UTeM juga banyak menawarkan program tambahan pensijilan profesional yang amat relevan dan bermanfaat besar kepada para pelajar apabila menceburi bidang pekerjaan,” ujarnya lagi kepada pihak media baru-baru ini.

Sementara itu, berkongsi pengalamannya Choy Jung Hong, 24, pula menyatakan program kejuruteraan pembuatan yang dipelajarinya membolehkan pelajar mempraktikkan secara terus ilmu fabrikasi secara hands-on sebagai contoh proses kimpalan, laser-cutting, milling dan sebagainya.

“Pelajar juga dapat pengalaman secara langsung untuk menilai terus kualiti fabrikasi sendiri yang telah dihasilkan melalui penghasilan produk akhir yang terus disiapkan dan diserahkan untuk kegunaan komuniti,” ujarnya lagi.

Para pelajar UTeM sewaktu penghantaran sangkar-sangkar tersebut di Taman Seri Bayan, Melaka.

Pensyarah Kanan FKP merangkap Penyelia Projek SULAM FKP 2022, Dr. Khairul Fadzli Samat berkata, di bawah seliaan projek ini pelajar dibimbing oleh kumpulan pengajar dan pelajarnya dipertanggungjawabkan untuk menguruskan keseluruhan proses bermula daripada rekabentuk sehingga tahap fabrikasi dan proses akhir.

Jelasnya, dengan adanya bimbingan daripada pensyarah dan penolong jurutera yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi, kualiti fabrikasi produk adalah setanding dengan penghasilan industri pembuatan berkaitan di luar sana.

Menyentuh mengenai kelebihan dan kekuatan projek ini beliau berkata, kos keseluruhan penghasilan produk ini ianya telah berjaya dikurangkan sehingga 50 peratus dan beberapa inovasi telah diadaptasi bagi menambah baik rekabentuk sangkar.

“Sementara itu, inovasi dan fabrikasi yang dilakukan pelajar bagi penghasilan sangkar ini telah diakui sendiri oleh Eksekutif Komunikasi Korporat, Ahmad Fuad Ramdan yang merupakan wakil SWM Environment Sdn Bhd yang merupakan syarikat yang bertanggungjawab dalam proses pungutan buangan kitar semula di Melaka,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Dr Khairul Fadzli menyatakan penempatan sangkar kitar semula ini telah di tempatkan di KRT Taman Seri Bayan, Melaka bagi manfaat pihak komuniti di sini menerusi majlis serahan yang diadakan baru-baru ini.

“Dengan adanya inisiatif penghasilan dan penempatan sangkar ini, pihak SWM Environment Melaka telah bersetuju melakukan proses pungutan secara berkala di kawasan Taman Seri Bayan.

“Secara tidak langsung, inisiatif ini mendapat sokongan penuh pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sebagai Badan Peneraju Industri (ILB) bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam,” katanya lagi.- MalaysiaGazette