Employees Provident Fund EPF i-Citra withdrawal RM5,000
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyalurkan sebanyak RM167.63 billion kepada pengurus dana luaran sehingga 31 Disember 2021.

Jumlah itu meningkat sebanyak 8.0 peratus berbanding RM155.18 bilion pada akhir 2020.

Peruntukan yang dilaburkan dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap ini mewakili 16.66 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, pengurus dana luar KWSP menunjukkan prestasi yang baik pada tahun 2021 dan memberikan keputusan yang membanggakan selaras dengan objektif dan jangkaan KWSP untuk tahun tersebut.

”Pengurus dana ini telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi aset KWSP dan seiring dengan pertumbuhan saiz dana KWSP, ia akan meneruskan strategi kepelbagaian ini dan memanfaatkan kemahiran mereka yang melengkapkan keupayaan pengurusan dana dalaman KWSP sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagi tahun kewangan berakhir 2021, KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.10 peratus dengan pembayaran RM50.45 bilion untuk simpanan konvensional, dan 5.65 peratus dengan pembayaran RM6.27 bilion untuk syariah.

Secara kumulatif, jumlah pembayaran untuk 2021 ialah RM56.72 bilion.

Pada Mac 2022, KWSP telah melancarkan Polisi Pelaburan Mampan KWSP, Polisi Isu Keutamaan dan Polisi Sektor Keutamaan untuk membimbing KWSP dalam membuat keputusan pelaburan yang lebih termaklum dan holistik dengan mengintegrasikan faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam proses pengurusan pelaburannya.

”Sesuai dengan kedudukan KWSP sebagai dana persaraan yang mempunyai objektif dan aspirasi jangka panjang, amat penting bagi KWSP untuk menggabungkan faktor ESG ke dalam penilaian prestasi dan amalan perniagaan syarikat pelaburan dan pengurus dana luarannya.

”Rangka kerja Pelaburan Mampan KWSP akan menjadi asas kepada sesi libat urus dalam membincangkan, menilai, dan mengurus risiko ESG, serta memanfaatkan peluang penambahan nilai,” ujarnya. – MalaysiaGazette