Hakimah Mohd Yusoff

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) berjaya memperoleh pengiktirafan akreditasi di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM).

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pengiktirafan itu berdasarkan keperluan MS ISO/IEC 17025:2017 yang diperolehi 20 April lalu selepas menjalani beberapa peringkat penilaian oleh Jabatan Standard Malaysia.

Beliau berkata, skop akreditasi MS ISO/IEC 17025:2017 yang diperolehi itu adalah dalam bidang ujian analisa kimia bagi skop alkohol.

“Kita berharap dengan pengiktirafan ini membolehkan MyHAC membuat penganalisaan dan pemantauan ke atas produk yang telah memperoleh Sijil Pengasahan Halal Malaysia (SPHM).

“Ini bagi mengukuhkan JAKIM selaku peneraju utama Badan Pensijilan Halal dengan pemantuhan ke atas keperluan, standard dan perundangan yang ditetapkan.

“Dengan pengiktirafan ini juga akan melonjakkan lagi nama halal di persada dunia selepas menjalani beberapa peringkat penilaian oleh Jabatan Standard Malaysia,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Hakimah, beliau bersyukur dan bangga dengan kesungguhan, usaha serta komitmen tinggi semua pihak terutama warga MyHAC bagi merealisasikan pengiktirafan itu, walaupun berdepan pelbagai cabaran dan dugaan. – MalaysiaGazette