Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bakal Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa pemimpin UMNO takut dengan segala formula yang diketengahkan olehnya bagi mengatasi masalah rakyat.

Menurut Rafizi, akibat ketakutan tersebut maka setiap kali beliau melontarkan idea penyelesaian masalah rakyat maka pemimpin UMNO akan bersuara serentak menyanggah formula yang diketengahkan.

Rafizi berkata, lebih banyak pemimpin UMNO cuba memperlekehkan idea yang dilontarkan maka lebih jelas ketakutan mereka terhadap dirinya.

“Apabila mereka cukup takut dengan “formula-formula” saya sehinggakan beberapa pimpinan mereka bersuara serentak setiap kali saya mengutarakan idea penyelesaian, itu maknanya mereka mengakui (dalam diam) bahawa mereka tandus idea untuk mentadbir negara.

“Mereka bimbang sekiranya politik Malaysia berkisar mengenai idea (bukannya sentimen kaum, agama atau siapa yang berkuasa), mereka akan ditolak rakyat seperti yang berlaku dalam PRU14,” kata Rafizi.

Sebelum ini Rafizi menganggap cadangan UMNO agar kerajaan menubuhkan Lembaga Unggas Negara bagi mengatasi isu bekalan ayam sebagai satu jenaka.

Beliau kemudiannya mengemukakan idea supaya kerajaan mewujudkan stok penimbal (stockpile) makanan.

Bagaimanapun cadangan Rafizi itu dipandang sinis oleh pemimpin UMNO termasuk Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Rafizi menganggap sindirian yang dilemparkan kepadanya adalah kerana pemimpin UMNO mahu menutup malu selepas mengetengahkan cadangan menubuhkan Lembaga Unggas Negara.

Rafizi yakin rakyat akan terus menghargai pimpinan politik yang mengutarakan formula.

Katanya, formula bermula daripada idea dan formula yang dilaksanakan dengan baik akan menghasilkan penyelesaian. Tanpa idea dan formula tidak akan ada penyelesaian.

Tambah Rafizi, rakyat tahu bahawa formula penetapan harga petrol dan diesel yang digunakan oleh kerajaan sekarang diperjuangkan oleh beliau sejak 2013 semasa Datuk Seri Najib Tun Razak mahu menghapuskan subsidi.

“Dalam mereka mengatakan formula saya tidak dapat dilaksanakan, formula itu juga yang dipakai oleh Perdana Menteri dari UMNO sendiri.

“Kalau ada satu formula penyelesaian yang berjaya melindungi rakyat dari harga petrol yang naik mendadak (seperti di zaman Najib) formula itu dibawa oleh saya.

“Manfaatnya, rakyat menikmati harga petrol dan diesel pada kadar yang stabil sejak Mei 2018 hingga sekarang,” kata Rafizi.

Beliau menegaskan akan terus mengutarakan formula untuk dipertimbangkan oleh rakyat setiap dua atau tiga hari untuk membawa kembali persaingan politik Malaysia kepada persaingan idea.

“Saya nasihatkan Zahid Hamidi dan UMNO mencari jawapan lain untuk berdepan dengan saya kerana jawapan “UMNO ada penyelesaian bukan formula” ini telah ditolak rakyat dalam PRU14 yang lepas,” kata Rafizi sinis. – MalaysiaGazette