Mohd Naqib selesai membuat laporan di ibu pejabat SPRM Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

KOTA BHARU – Seorang penduduk yang mewakili 16 keluarga Kampung Atas Paloh, di sini, membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan ke atas Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) berhubung pengambilan tanah yang didiami mereka sejak 80 tahun lalu.

Mohd Naqib Md. Hassan, 40, membuat laporan itu pada jam 3.50 petang ini, meminta suruhanjaya tersebut menyiasat dan mengambil tindakan ke atas penyalahgunaan kuasa dalam pengambilan tanah di kampung berkenaan.

Katanya, menerusi carian di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan pada 23 Jun lalu, beliau mendapati PKINK mendapat hak milik tanah Jalan Paloh, PT 79 Seksyen 5, Jajahan Kota Bharu, Kelantan pada 17 Julai 2019 iaitu dua tahun lalu.

Sedangkan, kata beliau, majlis perasmian pecah tanah bagi projek pembinaan kondominium 15 tingkat di atas tanah itu oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disempurnakan pada tahun 2013.

“Menjadi tanda tanya kami, PKINK mengadakan majlis perasmian rumah mampu milik di Jalan Atas Paloh sembilan tahun lalu, yang mana majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan ADUN Kota Lama, Datuk Anuar Tan Abdullah.

“Persoalan kami, adakah PKINK berhak menghalau kami, sedangkan mereka sendiri belum mendapat hak milik ketika itu,” katanya melalui kenyataan media, di sini, hari ini.

Rabu lalu, baki 16 daripada lebih 100 rumah penduduk di kampung itu dirobohkan untuk dibangunkan lebih 400 unit kondominium 15 tingkat.

Pada Mei 2013, ketika merasmikan majlis itu, Nik Abdul Aziz pernah berjanji untuk memberikan setiap keluarga berkenaan sebuah unit kediaman sebagai ganti.

Malah, Nik Abdul Aziz juga berjanji kerajaan negeri akan menyediakan rumah transit sementara kepada penduduk di situ sepanjang tempoh pembinaan kondominium berkenaan.

Menurut Mohd Naqib, ketika proses di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, PKINK telah menafikan majlis perasmian itu, tetapi beliau mempunyai salinan buletin terbitan syarikat itu sebagai bukti.

Katanya, ini menunjukkan ketidaktelusan dalam pembahagian rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada penduduk Jalan Atas Paloh, sedangkan ada antara mereka mendapat lebih dari satu unit rumah.

“Malangnya, 16 keluarga lagi tidak menerima sebarang tawaran untuk memiliki rumah itu, tetapi hanya diberi saguhati RM1,000 yang dibayar dua kali iaitu RM500 sebelum roboh dan RM500 lagi selepas rumah dirobohkan.

“Selain itu, penduduk juga dipaksa menandatangani surat akuan bersumpah yang ditandatangani dan dicop oleh Pesuruhjaya Sumpah, sedangkan mereka tidak dijemput untuk menandatangani surat itu,” katanya.

Mengenai dakwaan PKINK ada menjemput semua 16 keluarga berkenaan untuk membuat cabutan milik, beliau berkata, hanya beberapa keluarga sahaja dipanggil.

Beliau juga menyatakan rasa kesal apabila PKINK menuduhnya sebagai penceroboh, sedangkan ada antara penduduk telah membayar cukai bandaran dan mempunyai bukti pembayaran.

Katanya, Jawatankuasa Penduduk Jalan Atas Paloh juga pernah memohon geran pada 2011 bersama penduduk Kampung Sungai Budor dan Kampung Jalan Mustafa.

Bagaimanapun, penduduk Jalan Mustafa dan Kampung Sungai Budor mendapat geran menduduki tanah masing-masing, sedangkan permohonan mereka di Kampung Jalan Atas Paloh tidak lulus. – MalaysiaGazette