Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bergambar dengan jentera UMNO Pasir Salak yang hadir pada sidang media khas mengenai pemecetan jawatannya sebagai ahli MKT UMNO di Hotel Eastin, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JUN 2022.

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) atas tiket Pas.

Langkah itu diambil beliau sekiranya dipecat daripada UMNO setelah mengadakan sidang media khas mendedahkan perihal parti itu kepada umum hari ini.

“Boleh dipertimbangkan…not a bad idea tapi tak adalah saya nak masuk Pas.

“Tapi kalau dia orang (UMNO) berkasar saya boleh berkasar tanding bebas, masa ‘tsunami’ (politik) pun sokongan (saya) naik, tak pernah kalah,” katanya hari ini.

Sabtu lalu, Pas Perak mengatakan pihaknya sedia menawarkan kerusi kepada Tajuddin mewakili parti itu pada PRU-15 kelak.

Perkara itu dinyatakan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang berkata tawaran itu dibuat setelah Tajuddin digugurkan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Katanya, tawaran itu tidak bermaksud Pas mahu mencampuri urusan atau kemelut dalaman mana-mana parti lain.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk dipecat oleh UMNO, Tajuddin tidak bimbang sekiranya ia berlaku kerana mendakwa beliau sudah banyak kali dipecat dalam partinya.

Untuk rekod, tiga hari lalu, Tajuddin digugurkan daripada jawatan MKT.

UMNO dalam pada masa memberikan alasan pemecatan beliau bagi menumpukan tugas beliau sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia tidak lama lagi.

Malah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan,  tindakan menggugurkan jawatan ahli MKT ke Tajuddin adalah keputusan parti. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pas Perak pelawa Tajuddin bertanding kerusi Pasir Salak