The High Court sentenced Sam Ke Ting, 27 to six years in prison and RM6,000 fine after finding her guilty of reckless driving thus causing the death of eight teenage joyriders five years ago
Sam Ke Ting.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan menetapkan 29 Ogos bagi pengurusan kes selanjutnya dalam rayuan seorang kerani wanita terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal yang diubah suai dikenali sebagai basikal lajak.

Tarikh itu ditetapkan selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Tan Chai Wei secara dalam talian hari ini.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Sam Ke Ting, semasa dihubungi berkata timbalan pendaftar menetapkan tarikh tersebut kerana rekod rayuan belum siap.

“Pada pengurusan kes akan datang, kami akan mengemaskinikan perkara itu (rekod rayuan),” katanya.

Pada 18 April, Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada Sam untuk merayu terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan Sam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan bebas dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas Sam selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Okt tahun lepas, yang melepas dan membebaskan wanita itu.

Beliau juga memerintahkan wanita itu dikenakan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda dan larangan memandu selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman.

Sam yang berusia 22 tahun ketika kejadian, didakwa melakukan kesalahan itu pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017 di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor.

Lapan remaja yang maut dalam tragedi itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast