Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Susulan pendedahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai pergolakan dalaman UMNO semalam, DAP hari ini menggesa Perdana Menteri menarik balik pelantikannya sebagai Duta Besar ke Indonesia.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai berkata, cara percakapan Ahli Parlimen Pasir Salak itu amat memalukan negara, apatah lagi perkara sama berlaku dalam insiden lain di Parlimen serta Prasarana sebelum ini.

“Pembongkaran politik oleh ahli Parlimen Pasir Salak itu telah membuka mata rakyat Malaysia tentang pergolakan politik peringkat tertinggi UMNO.

“Beliau terbukti tiada keterampilan diplomatik untuk memikul tanggungjawab penting sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

“Saya ingin menggesa Perdana Menteri untuk membatalkan pelantikan beliau sebagai Duta Besar ke Indoneisa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Tajuddin mendedahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa berkomplot mengumpul tandatangan akuan bersumpah (SD) daripada 15 ahli Parlimen UMNO untuk menaikkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Sebelum ini, Tajuddin menyandang jawatan Pengerusi GLC Prasarana dan dipecat pada Mei 2021 oleh Menteri Kewangan.

Ia susulan kejadian kemalangan terburuk Laluan LRT Kelana Jaya yang mengakibatkan 213 penumpang cedera dengan lebih daripada 60 dihantar ke hospital.

Dalam pada itu, Perdana Menteri tidak seharusnya menggunakan jawatan awam untuk tujuan memuaskan hati penyokong beliau yang memang tidak sesuai.

“Pelantikan jawatan awam haruslah berdasarkan kelayakan, pengalaman serta personaliti bersesuaian dan bukan berdasarkan pertimbangan politik,” katanya.

Katanya lagi, Perdana Menteri masih boleh menarik pelantikan Tajuddin itu kerana beliau masih belum menerima surat watikah secara rasmi dari pada Yang di-Pertuan Agong.

“Majlis penyerahan telah dijadualkan minggu lalu tetapi terpaksa dibatalkan memandangkan baginda gering di bahagian kaki,” katanya lagi. – MalaysiaGazette