KUALA LUMPUR – PMB Investment Berhad (PMB Investment), ahli Kumpulan Pelaburan MARA Berhad (PMB) melancarkan dana terbaharunya, PMB Shariah Greater China Equity Fund (PSGCEF). Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, PSGCEF merupakan dana ke-19 PMB Investment bagi memberi peluang kepada para pelabur memperoleh keuntungan dalam jangka masa sederhana dan panjang. Jelas beliau, pelaburan syariah itu sesuai untuk pelabur yang mempunyai tahap risiko sederhana hingga tinggi serta mencari pelaburan yang mampu memberi pulangan stabil dalam tempoh tiga tahun atau lebih. Beliau berkata, Wilayah Tanah Besar China dipilih kerana PMB Investment belum mempunyai dana yang mensasarkan wilayah itu. “PMB berpendapat wilayah China merupakan pasaran yang sangat besar dan berpotensi untuk meningkat pesat. “Faktor ini ekoran pembukaan semula aktiviti ekonominya dan pada masa ini saham-saham syarikat yang tersenarai di bursa tersebut masih berada pada paras yang menarik,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Ulang tahun Pelaburan MARA Berhad Ke-55 dan Majlis Pelancaran Dana Unit Amanah PMB Investment Berhad di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi, Pengerusi MARA Corporation, Senator Datuk Othman Aziz dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf. Mahdzir menambah, pelancaran dana unit amanah itu menerusi pelbagai portfolio pelaburan syariah yang tersenarai di Dow Jones Islamic Market (DJIM) Greater China Index yang meliputi pasaran wilayah Tanah Besar China, Hong Kong, Taiwan dan Macau. Kata beliau, strategi pelaburan PSGCEF ialah dengan melabur di antara 70 hingga 99.5 peratus daripada nilai aset bersihnya ke dalam ekuti patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti yang tersenarai di bursa wilayah Tanah Besar China dan tidak hanya terhad kepada DJIM Greater China Index sahaja. “Saya yakin dengan pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan pelaburan yang ada, PMB Investment akan berupaya memberikan prestasi dan pulangan berpatutan pada masa akan datang,” katanya. Dana tersebut tambah Mahdzir, ditawarkan pada harga 50 sen seunit bermula 26 Mei lalu dengan pelaburan minimum sebanyak RM1,000 untuk pelabur runcit dan RM10,000 untuk pelabur institusi. Sementara itu pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Pelantikan UOB Kay Hian sebagai Penasihat Institusi Saham Amanah untuk memasarkan produk-produk amanah PMB Investment. Untuk rekod, PMB Investment mempunyai 19 dana unit amanah syariah yang dibuka untuk dilanggan oleh orang ramai. PMB Investment kini mempunyai nilai aset bersih berjumlah RM1.5 bilion setakat Mei lalu. Satu lagi perjanjian turut ditandatangani iaitu berkaitan Pegangan Saham dengan syarikat Evergreen Corporate Sdn Bhd (ECSB). ECSB merupakan sebuah syarikat kitar semula yang terlibat dalam memproses tayar terpakai menjadi diesel gred industri beroperasi di Teluk Gong, Selangor dengan kapasiti pengeluaran 60,000 liter diesel sehari. ECSB dalam usaha untuk membina kilang tambahan di tanah miliknya di Simpang Pulai, Perak, di mana ianya mampu memproses 1 juta tan metrik tayar sehari dan menghasilkan 480 ribu liter diesel sehari. Pada sesi sidang media yang sama, Mahdzir turut berkata beliau yakin ECSB berpotensi untuk berkembang maju Menerusi inovasi teknologi hijau kitar semula, operasi ECSB diyakini berpotensi berkembang maju kerana terbukti tidak mencemarkan alam sekitar dan menggunakan BAT (Best Available Technology) yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar dalam pengawalan pencemaran udara. “Melalui perjanjian ini kita berharap Pelaburan MARA dapat membantu pihak Kerajaan mengurangkan subsidi diesel dengan menghasilkan diesel alternatif tanpa subsidi selain meletakkan sasaran untuk ECSB disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2025,” ujar Mahdzir. Dalam pada itu, Pelaburan MARA yang mencapai usia lebih lima dekad, diharap meneruskan agenda pemerkasaan Bumiputera dan membantu golongan berkenaan khususnya ketika dunia berhadapan dengan pelbagai krisis yang menggugat ekonomi dan peningkatan inflasi. Pelaburan MARA yang sebelum ini dikenali sebagai Amanah Saham MARA Berhad ditubuhkan bagi mewujudkan kesedaran dan mendidik golongan Bumiputera untuk terlibat dalam pelaburan dan seterusnya meningkatkan pegangan ekuiti dalam syarikat-syarikat tersenarai di Pasaran Saham Malaysia dan Singapura. – MalaysiaGazette