Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radza bergambar kenangan bersama Upin Ipin dan rakan-rakan pada sidang media pengajuran ''Teater Muzikal Upin dan Ipin - Pin Pin Pom!'' di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Selepas 10 tahun, syarikat produksi animasi nombor satu negara, Les’ Copaque Production Sdn Bhd kembali menganjurkan Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom yang sesuai menjadi tontonan pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi, teater itu bakal menampilkan pengisian yang berbeza dengan yang sebelum ini.

Tambah beliau, teater yang akan berlangsung pada 3 dan 4 September nanti menggunakan teknologi terkini seperti teknik kesan khas, efek pencahayaan serta penggunaan sistem lampu diod pemancar cahaya (LED) skin bagi memberikan impak luar biasa kepada pementasan tersebut.

“Banyak multimedia yang dioleh berbanding 10 tahun lalu. Ini menunjukkan karya 100 peratus datang daripada tempatan,” katanya ketika Majlis Sidang  Media Teater Muzikal Upin & Ipin: Pin Pin Pom di sini hari ini.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radza bercakap pada sidang media pengajuran ”Teater Muzikal Upin dan Ipin – Pin Pin Pom!” di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2022.

Bukan hanya akan ditayangkan di dalam negara malah, katanya, muzikal Upin & Ipin yang berdurasi satu jam itu  juga bakal berada di Singapura seterusnya di Indonesia.

Burhanuddin berharap agar muzikal hasil karya Les’ Copaque Production kali ini akan terus berkembang sehingga akhirnya seiring dengan Disney.

“Ini adalah satu impian kami saya dan isteri dan anak-anak Les’ Copaque kita nak Upin & Ipin jadi nama besar dan boleh dibawa ke seluruh dunia.

“Kita nak tengok karya Malaysia pergi ke tahap antarabangsa,” tambahnya.

Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom!” akan dipentaskan di Dewan Plenary , Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 3 dan 4 September 2022.

Waktu persembahan pula pada pukul 11 pagi, 3 petang dan 8.15 malam.

Peminat sudah boleh mula mendapatkan tiket dengan potongan harga 10 peratus di laman web Trip.com bermula dari 15 Jun sehingga 14 Julai 2022.

Manakala bermula 15 Julai 2022, tiket akan kembali dijual kepada harga asal melalui laman we My.BookMyShow.com.-MalaysiaGazette