KUANTAN – Kerisauan kakak Allahyarham Muhammad Rosli Ibrahim, pemandu kereta yang maut dalam nahas jalan raya di Jalan Kuantan-Segamat kerana panggilan yang dibuat tidak diangkat akhirnya terjawab.
Siti Jainah Basiron, 45, berkata, dia menghubungi adiknya untuk bertanya mengenai perancangan persiapan Hari Raya Aidiladha.
Katanya, Allahyarham merupakan anak ke-10 daripada 13 adik beradik rapat dengannya dan mereka selalu berhubung menerusi WhatsApp serta berbalas komen status yang dibuat.
Malah, sehingga ke saat ini, dia tidak percaya adik kesayangannya telah pergi selama-lamanya dan redha dengan percaturan Allah.
Namun, Siti Jainah sayu apabila adik ipar dan tiga anak mereka turut meninggal dunia dalam nahas itu.
“Kakak ada berhubung dengan arwah pada hari Isnin. Kami bermesej dari jam 8.21 pagi hingga 9.27 pagi. Itulah WhatsApp terakhir kami.
“Dalam mesej itu memang dia tak jawab tentang balik cuti Raya Haji nanti. Dia cuma maklum berada di Chini bersama keluarga.
“Akak macam tak percaya apabila kakak telefon maklumkan berita mengejut ni…melibatkan satu keluarganya,” katanya sayu kepada MalaysiaGazette.
Siti Jainah yang menyambut ulang tahun kelahiran pada hari ini akui dia cukup sedih kerana menziarahi adiknya dalam keadaan sebegini.
“Hari ni hari jadi saya, kebiasaannya dia akan ucap atau akan telefon.
“Tapi kali ni saya pula tengok dia,” ujar Siti Jainah.
Tambahnya, Muhammad Rosli yang bekerja sebagai pemandu bas menetap di Bagan Serai, sering berhubung dan menziarahinya setiap kali memandu ke Johor.
“Kalau dia bawa bas dari Ipoh ke Larkin dia akan jumpa. Arwah ni manja dengan akak sebab akak paling jauh.
“Arwah, saya dan abang selalu buat video call tetapi sejak akhir-akhir ini kebetulan jarang buat,” katanya.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan, lima sekeluarga maut apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat.
Selain Muhammad Rosli, isterinya, Nor Afiqah Abdullah Sani, 35, dan tiga anak mereka maut. – MalaysiaGazette