chicken ceiling price subsidy
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada kadar RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia.

Manakal harga siling runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen/biji bagi gred A, gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji).

Ketetapan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronal Kiandee, kerajaan akan meneruskan subsidi terhadap bekalan makanan mentah tersebut dengan peruntukan sebanyak sebanyak RM369.5 juta.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan subsidi terhadap bekalan ayam standard adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari lalu.

“Isu kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia sahaja, sebaliknya ia merupakan fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dan perubahan iklim.

“Namun, Kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan.

Penetapan harga siling bagi ayam standard dan telur tersebut berkuatkuasa bermula 1 Julai ini.

Tambahnya, keputusan untuk mengekalkan subsidi ayam juga telah mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

“Melalui inisiatif bantuan tunai termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40.

“Seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2600 tahun ini. Bantuan ini adalah tertinggi yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan,” katanya.-MalaysiaGazette