Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Keadaan agak ‘panas’ berlaku hari ini ketika prosiding pembelaan kes rasuah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi yang sedang dihadapi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Malah hakim yang sedang mendengar kes berkenaan, Datuk Collin Lawrence Sequerah terpaksa mencelah beberapa kali di antara Ahmad Zahid dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran pada sesi soal balas hari ini.

Ketika Ahmad Zahid cuba memberi jawapan terperinci kepada soalan dikemukakan oleh pendakwaan, Raja Rozela menegurnya sambil menyatakan ‘jawab ya atau tidak’ sahaja sudah mencukupi dan tidak perlu memberi penjelasan.

Itu menyebabkan Ahmad Zahid kurang senang sebelum menjawab kembali bahawa itu haknya untuk memberi penjelasan kepada soalan dikemukakan.

Raja Rozela menyoal adakah semua orang tidak kira kaya atau miskin tertakluk kepada undang-undang, Ahmad Zahid bersetuju dengan penyataan tersebut namun sebelum sempat menjawab ia sudah dipotong.

“Jawab ya atau tidak sahaja. Tidak perlu penjelasan,” katanya kepada Ahmad Zahid yang berada di kandang saksi.

Namun Ahmad Zahid tetap bertegas untuk memberi penjelasan kerana itu adalah haknya malah berkata soalan itu tidak tertakluk kepada tuduhan ‘terpilih’.

Keadaan menjadi tegang sehingga Collin memberitahu Ahmad Zahid yang beliau akan diberi peluang untuk menjawabnya.

Dalam pada itu, Raja Rozela turut membangkitkan persoalan mengapakah Ahmad Zahid menganggap kes terhadapnya itu bermotifkan politik walaupun pendakwaan tidak pernah menyebut perkara itu.

Kata Ahmad Zahid, selagi beliau bergelar ahli politik pastinya tindakan mengheret ke mahkamah itu mempunyai motif politik malah ada juga beberapa pemimpin sepertinya juga menerima nasib sedemikian kerana berdepan tuduhan mahkamah.

Raja Rozela: Kamu kata demikian kerana kamu ahli politik? Kerana itu kes kamu berbaur politik? Tetapi sepanjang kes berjalan tidak pula pendakwaan berkata demikian?

Ahmad Zahid: Atas kertas memang tidak ada tetapi di belakang saya amat maklum ianya motif politik.

Jelas Ahmad Zahid lagi, itu juga antara mengapa beliau memberi keterangan semalam berhubung hakikat sebentar yang berlaku kepada dirinya dan ahli politik lain.

Ketika itu juga Raja Rozela bertanya adakah benar politik dan wang tidak boleh dipisahkan, kata Ahmad Zahid, setiap ahli politik memerlukan wang bagi tujuan aktiviti politik walaupun wang bukan segalanya namun dana amat diperlukan bagi semuanya.

Prosiding bersambung.

Ahmad Zahid berdepan dengan 47 pertuduhan melibatkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik yayasan yang diasaskan olehnya.

Bekas menteri itu telah diperintah membela diri atas semua pertuduhan itu pada 24 Januari selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast