Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bersedia untuk menjawab kertas soalan Bahasa Melayu pada hari pertama SPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7 Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 02 MAC 2022.

SISTEM pendidikan negara perlu mengekalkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) kerana kedua-dua peperiksaan ini masih relevan dengan senario pendidikan semasa.

Walau bagaimanapun, pentaksiran dan penilaian terhadap pelajar perlu dilakukan  secara menyeluruh, iaitu tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata.

Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu bertindak segera untuk menambah baik sistem pengukuran sedia ada supaya selari dengan perkembangan pengajaran dan pembelajaran (PdP) alaf baharu termasuk teknologi digital.

Penilaian mestilah mengambil kira potensi, bakat dan minat pelajar yang berbeza-beza. Setiap pelajar perlu diberi peluang untuk menonjolkan kekuatan dan kelebihan diri, sekali gus  dapat meningkatkan pencapaian akademik mengikut kemampuan diri.

Benar, keputusan SPM dan STPM bukan penentu kejayaan individu tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa perlu ada satu kaedah untuk mengukur penguasaan pelajar dalam bidang akademik.

Keputusan yang diperoleh dapat membantu pelajar untuk membuat pilihan sama ada menyambung pengajian dalam bidang akademik atau memperkukuh kemahiran  insaniah dalam bidang yang diminati. Sesiapa sahaja boleh mencipta kejayaan mengikut pilihan masing-masing.

Namun, ada yang berpandangan bahawa pemansuhan SPM dan STPM perlu dilakukan dengan segera.

Antara justifikasi yang diberikan ialah ibu bapa tidak lagi pening kepala untuk memastikan anak-anak mendapat gred A, tidak perlu membuat perbandingan pencapaian dengan anak-anak lain dan dapat membebaskan anak-anak daripada tekanan.

Persoalannya, adakah SPM dan STPM perlu dimansuhkan semata-mata untuk memenuhi keinginan ibu bapa yang mementingkan diri sendiri? Adakah wajar gred A dijadikan ukuran kejayaan?

Adakah perlu dibandingkan pencapaian anak sendiri dengan anak orang? Adakah tekanan pelajar hanya melibatkan peperiksaan? Bagaimanakah pula perasaan ibu bapa jika anak-anak mereka membuat perbandingan dengan ibu bapa yang lain?

Justifikasi yang diberikan tersebut jelas menunjukkan ada dalam kalangan ibu bapa yang tidak memahami peranan mereka sebagai tonggak utama dalam pendidikan anak-anak.

Saya percaya masih ramai ibu bapa di luar sana yang memberi sokongan berterusan kepada anak-anak mereka.

Peranan ibu bapa untuk membentuk keperibadian unggul anak-anak tidak mudah apatah lagi ketika dunia berhadapan dengan cabaran COVID-19.

Dalam konteks peperiksaan SPM dan STPM, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak tentang kepentingan menimba ilmu dan tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Amanah ini mesti digalas dengan sebaik mungkin dan penuh integriti supaya ilmu yang digali meresapi jiwa dan raga.

Sebagai pelajar, mereka perlu belajar bersungguh-sungguh, gigih berusaha dan fokus semasa  menjawab peperiksaan. Jika keputusan cemerlang, raikan kejayaan tersebut dengan peringatan kepada anak-anak bahawa kejayaan yang diperoleh hari ini bukan penentu masa depan.

Masih banyak cabaran yang perlu dilalui selagi hayat dikandung badan. Jika keputusan tidak seperti yang diharapkan, raikan anak-anak dengan kata-kata semangat supaya mereka tidak berputus asa.

Masih banyak ruang lain untuk mencipta kejayaan selagi kita berusaha. Sekali gagal bukan bermakna gagal selamanya. Jika kegagalan tersebut disebabkan kealpaan sendiri, raikan anak-anak dengan peringatan bahawa kejayaan tidak datang bergolek tetapi memerlukan usaha dan pengorbanan.

Seperti ungkapan Allahyarham Prof. Diraja Ungku Aziz, hidup ini bukanlah seperti lagu  Que Sera Sera (whatever will be, will be), apa hendak jadi biarlah terjadi. Hakikatnya, masa depan seseorang itu bergantung kepada diri kita sendiri selain daripada doa yang berterusan.

Selagi ada usaha selagi itu ada harapan. Ibu bapa perlu membantu anak-anak untuk bangkit semula dan belajar daripada kesilapan lalu. Kesilapan itu pengalaman dan pengalaman itulah yang mendewasakan kita.

Jika ibu bapa berusaha menjadi kaunselor terbaik kepada anak-anak, saya yakin persoalan berapa banyak A atau perbandingan keputusan anak-anak dengan pencapaian terbaik pelajar lain tidak berlaku.

Malah, anak-anak dapat mengikuti pembelajaran dengan gembira dan tidak berasa tertekan untuk menduduki peperiksaan.

Hakikatnya, sistem pendidikan di Malaysia perlu diperkemas dengan rapi untuk menangani pelbagai isu yang dibangkitkan oleh banyak pihak. Jika SPM dan STPM mahu dimansuhkan juga,

KPM mesti benar-benar bersedia untuk memperkenalkan kaedah pengukuran baharu yang lebih baik daripada sebelumnya. Penglibatan golongan pakar khususnya ahli akademik dan pendidik dalam apa juga perbincangan sangat dituntut.

Persoalannya, sudah bersediakah? Manakala, ibu bapa hendaklah menjadi suri teladan kepada anak-anak, ibarat bahu memikul hati menyokong.  Berikan motivasi dan inspirasi berterusan kepada anak-anak untuk menjadi modal insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Cadangan untuk memansuhkan SPM dan STPM…Lupakan!

Dr. Norazlina Mohd Kiram
Prof. Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram, 
Universiti Putra Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast