Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed membuat gimik pelancaran pada Kempen Anti Scam Kontinjen Selangor di Lobi Utama Hotel Concorde Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2022.

SHAH ALAM – Kerugian yang direkodkan oleh Polis Selangor akibat penipuan atas talian dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini mencecah RM59.6 juta.

Ketua Polis negeri, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, jumlah kerugian itu melibatkan 1,354 kes yang dilaporkan pelbagai pihak yang menjadi mangsa penipuan scammer.

Katanya, polis telah meningkatkan siasatan dengan membuat tangkapan seramai 1,700 scammer yang kebanyakannya adalah keldai kepada penipuan berkenaan.

“Yang ditangkap ini kebanyakannya keldai kerana scammer ini menggunakan akaun orang lain, bukan akaun sendiri.

“Jadi, kita mengajak orang ramai di semua peringkat untuk turut serta bersama polis memerangi kegiatan penipuan atas talian ini.

“Kenapa kita semua perlu memerangi penipuan ini? Sebab kalau kita tengok kepada statistik kejadian atau kes berlaku di Selangor bagi tempoh Januari hingga Jun, kerugian yang direkodkan berjumlah RM59.6 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Anti-Scam PDRM 2022 ‘Lets Fight Scammer Together’ di sebuah hotel di sini, hari ini.

Arjunaidi Mohamed

Menurut Arjunaidi, jumlah kerugian itu bukan kecil dari 1,354 kes yang melibatkan penipuan di Selangor sahaja, manakala penipuan secara terbuka sebanyak 428 kes.

Katanya, sebanyak 75 peratus daripada kes jenayah yang berlaku di Selangor adalah melibatkan penipuan atas talian.

“Perkara ini yang perlu kita ambil berat dan atasi bersama oleh semua masyarakat, jabatan dan semua pihak.

“Mereka harus memainkan peranan masing-masing, tidak boleh berdiam diri kerana kerugian ini hanya untuk satu kontinjen di Selangor sahaja, tidak termasuk kontinjen atau negeri lain.

Antara penipuan atas talian ialah menyamar sebagai polis, memperkenalkan mereka dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bank, Pos Laju, BigPay, Telekom Malaysia, Kastam dan Mahkamah.

“Daripada RM59.6 juta ini kita tidak tahu berapa banyak duit kita telah mengalir ke luar negara dan hasil daripada siasatan kita, sebahagian besarnya telah mengalir ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta kerajaan membuat pindaan atau mengubal undang-undang sedia ada berkaitan dengan penipuan yang menggunakan teknologi maklumat (IT) itu supaya sesuai dengan perkembangan semasa.

Kata beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga ada menyentuh perkara sama beberapa minggu lalu dan berharap undang-undang itu digubal dalam tempoh terdekat.

“Sebab undang-undang sedia ada tidak selari dengan perkembangan semasa dari segi teknologi terutama teknologi IT yang ada pada hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette