Gambar hiasan

KEHIDUPAN yang bahagia hingga ke akhir usia adalah impian semua manusia. Tiada siapa pun yang merancang untuk gagal dalam perkahwinan yang dilaluinya. Tidak terkecuali ada yang beranggapan panas hingga ke petang, tetapi hujan di tengahari.
Demikianlah sebuah kehidupan berumah tangga yang sering kali ditimpa badai. Namun, sejauh mana ia mampu dihadapi dan ditangani dengan sebaiknya.

Pada 2021, Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan jumlah perceraian tertinggi mengikut kumpulan umur adalah antara 30 hingga 34 tahun. Malah, laporan kes perceraian di Malaysia merekodkan peningkatan yang luar biasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dilaksanakan. Pegawai Psikologi Kanan Pusat Kaunseling, Universiti Utara Malaysia, Faezah Nayan berkata, masalah kewangan menjadi antara penyebab utama berlakunya perceraian kerana ramai suami hilang punca pendapatan kerana diberhentikan kerja akibat Covid-19. Kehilangan pekerjaan mencetuskan masalah kewangan dalam keluarga, lebih parah apabila suami sebagai ketua keluarga diberhentikan kerja menyebabkan tiada duit untuk beli makanan, susu anak, lampin dan sebagainya, lantas menyebabkan konflik dalam rumah tangga apabila suami isteri bergaduh.

Tentunya, masalah kewangan akan mencetuskan konflik dan pergaduhan antara suami dengan isteri disebabkan tekanan dan akhirnya menyebabkan wujudnya ketidaksefahaman di antara satu sama lain. Masalah yang timbul tersebut sudah pasti rentetan daripada masalah kewangan hingga menyebabkan konflik hubungan suami isteri yang tidak berkesudahan, akhirnya mencetuskan perceraian atau meruntuhkan institusi kekeluargaan. Sebagaimana Teori Hierarki Maslow, faktor yang menyumbang kepada kesejahteraan psikologi membabitkan lima keperluan manusia iaitu keperluan asas, keperluan keselamatan, keperluan kasih sayang, keperluan pengharapan dan keperluan sempurnakendiri.

Ketika kelima-lima keperluan tersebut tidak dipenuhi, maka wujudlah psikologi yang tidak sejahtera iaitu rasa sedih, kecewa, tertekan, murung, bercelaru, bimbang dan trauma, hingga terjadilah sesuatu yang tidak diingini dalam sebuah perkahwinan.
Sedarkah kita, kadar kes perceraian semakin meningkat disebabkan oleh kemerosotan kualiti perkahwinan dalam kalangan pasangan yang baru berkahwin dewasa ini?

Bercerai usia muda

Kajian 2016 oleh Psychology Today mencadangkan pasangan yang berkahwin sebelum umur 28 tahun lebih berkemungkinan bercerai berbanding mereka yang mengikat tali perkahwinan agak lewat dalam hidup. Manakala, kajian pada 2013 yang menemu bual 52 pasangan yang bercerai mendapati korelasi yang kuat antara perkahwinan muda dan perceraian awal. Jabatan Perangkaan Malaysia juga mencatatkan penurunan kes perceraian daripada 56,624 pada 2019 kepada 45,754 pada 2020. Perkahwinan adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh pasangan suami isteri. Perkahwinan yang berkekalan pasti menjadi salah satu matlamat pasangan suami isteri.

Melalui satu ikatan maka, akan terjalinlah dalam perhubungan apabila pasangan itu aktif, saling memberi dan menerima serta mempengaruhi antara satu sama lain. Seterusnya, ikatan yang telah terjalin akan mewujudkan perasaan selamat, selesa dan
kemesraan antara pasangan. Dengan sifir mudahnya, sudah tentu perkahwinan akan berjaya apabila pasangan komited antara satu sama lain dan bekerjasama dalam apa jua keadaan. Perubahan zaman turut membawa kesan kepada jangkaan dan persepsi antara satu sama lain ke arah perkahwinan yang berkualiti mahupun bahagia.

Tidak terkecuali, pengalaman negatif dalam perkahwinan akan menjadi penghalang untuk membina dan mengekalkan perkahwinan dan keluarga yang utuh. Pengalaman negatif itu juga akan menjejaskan kualiti sesebuah perkahwinan sebagaimana individu yang sudah berkahwin dan tidak berasa gembira dengan perkahwinan tersebut akan mengalami kesan negatif seperti gangguan kesihatan terutamanya emosi. Keadaan ini tentunya juga memberi implikasi yang besar kepada keluarga dan kerjaya. Perkahwinan yang tidak bahagia dan tidak berkualiti akan memberi impak yang besar kepada kesejahteraan anak-anak serta perkembangan emosi dan mental mereka.

Kadar kes perceraian semakin meningkat dalam kalangan pasangan yang baru berkahwin. Menurut Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), satu pertiga kes penceraian berlaku dalam tempoh lima tahun pertama perkahwinan. “New beginnings are often disguised as painful endings.” — Lao Tzu

Fasa perkahwinan

Sebagaimana kata Datuk Dr Harlina Halizah Siraj, terdapat empat fasa perkahwinan dan lima tahun pertama yang paling menduga. “Lima tahun pertama perkahwinan adalah waktunya suami isteri berdepan banyak konflik rumah tangga, masam muka, merajuk dan sebagainya. Namun, melalui cara inilah kita akan mengenali diri pasangan sebenarnya.”

Fasa 1 – Hingga 5 tahun pertama perkahwinan
Ini adalah satu tempoh mengenali pasangan apabila sudah duduk sebumbung. Pada masa inilah paling banyak dugaan, antaranya sukar faham sikap pasangan, masalah kewangan, mentua, anak kecil dan banyak lagi. Dalam tempoh fasa ini, pasangan perlu banyak toleransi, berbincang dan paling penting tingkatkan kesabaran.

Fasa 2 – Usia perkahwinan 5 hingga 10 tahun
Pada fasa ini, suami isteri sudah memahami sikap pasangan masing-masing, sudah maklum apa yang boleh jadi punca konflik dan cara mengelakkannya. Ramai juga yang sudah malas merajuk pada fasa ini. Dengan anak-anak semakin membesar, rumah tangga pada masa ini juga semakin stabil.

Fasa 3 – Usia perkahwinan 10 hingga 15 tahun
Walaupun sudah stabil dan rumah tangga bahagia namun, suami isteri yang dalam fasa ini perlu hati-hati. Memasuki 40-an, ada yang mula mengalami krisis pertengahan usia, ada juga yang mula rasa bosan dan menjeling pada yang lain. Mungkin ini juga berlaku kerana suami isteri lebih beri perhatian pada anak-anak yang meningkat remaja atau pun kerjaya.

Fasa 4 – Usia perkahwinan 15 hingga 20 tahun
Jika sudah memasuki fasa ini bermakna anda mungkin boleh berasa selesa. Kadar perceraian pun kurang pada usia perkahwinan ini. Namun, manusia hanya merancang Tuhan juga yang menentukan. Ada juga konflik dan krisis berlaku pada usia perkahwinan ini tetapi sangat jarang. Apa yang pasti, jika sudah sampai ke tahap ini, maka bersyukurlah dan jagalah kerukunan rumah tangga hingga ke akhir usia, insya-Allah sampai ke syurga-Nya.

Walau di mana pun fasa perkahwinan anda sekarang, apa yang utama dan pasti untuk melaluinya, seseorang itu perlu bersabar serta bertoleransi dengan pasangan.  Itulah resipi yang bukan lagi rahsia untuk sesebuah rumah tangga bertahan, berpanjangan
dan selamanya, insya-Allah.

Hubungan anak tidak bernoktah

”Tidak ada perkara seperti perceraian antara anak dengan ibu bapa, walaupun ibu bapa memutuskan untuk mengakhiri hubungan mereka,” kata Datuk Dr Harlina Halizah Siraj. Beliau berkata, terdapat impak besar kepada anak-anak sepanjang proses itu kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan banyak perubahan dalam hidup mereka.Apa sahaja yang berlaku antara kamu berdua, anak-anak kamu, tanpa mengira usia, mesti meneruskan kehidupan mereka seperti biasa. Tetapi sudah tentu, itu mustahil kerana sekarang mereka dapat melihat salah seorang daripada ibu bapa mereka tiada, contohnya, salah seorang daripada mereka akan berpindah.

Menurutnya, tentunya mereka perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu dan kemungkinan besar mereka tidak akan mengalami kehidupan yang sama seperti sebelum ini, dan itu boleh memberi kesan yang sangat tidak baik. Ibu bapa yang bercerai juga perlu mengelak bercakap buruk antara satu sama lain kepada anak-anak mereka kerana ia juga akan memberi kesan kepada emosi anak-anak mereka, kata Dr Harlina. Paling teruk lagi tegasnya, yang boleh berlaku ialah apabila ibu bapa bercakap buruk antara satu sama lain kepada anak-anak mereka. Mereka perlu ingat bahawa apabila ia berkata buruk tentang pasangan atau bekas pasangan mereka, itu adalah bapa atau ibu kepada anak-anak, jadi mereka perlu memastikan perkara itu tidak berlaku.

Selain itu, ibu bapa tidak boleh mengambil mudah kesan psikologi terhadap anak-anak mereka dengan mengatakan bahawa anak-anak mereka tidak apa-apa dengan apa yang berlaku kerana mereka sihat dan tindak balas mereka akan berbeza mengikut umur. Yang akan memburukkan lagi keadaan adalah anak-anak yang di sekolah rendah di mana mereka menyalahkan diri sendiri, manakala yang berusia remaja, mereka akan marah kepada ibu bapanya.

Kesan psikologi perceraian

Dr Harlina berkata, konflik yang dihadapi semasa dan selepas proses perceraian boleh memberi kesan psikologi kepada wanita dan kanak-kanak dalam situasi itu. Apabila perceraian tidak dapat dielakkan, maka perasaan gagal akan melanda dan seseorang itu akan mula berduka kerana kehilangan perkahwinan yang menjadi simbol status dalam masyarakat. Bercerai juga boleh diumpamakan seperti kehilangan seseorang yang disayangi, dan anda melalui semua proses kesedihan, merasakan kemarahan dan sesuatu yang tidak sangka. Juga jika seseorang itu berusaha untuk menyelamatkan hubungan tersebut sambil anda menyalahkan diri sendiri.

Justeru, ibu bapa yang telah mempertimbangkan untuk bercerai harus memastikan perpisahan mereka akan meninggalkan kesan yang paling sedikit kepada anak-anak mereka, di mana mereka boleh mempertimbangkan keibubapaan bersama atau cara lain
untuk mendepaninya. Kemurungan boleh menjadi realiti dan persekitaran perlu memberi masa kepada pasangan untuk mengharungi ini dan dengan pemikiran masyarakat yang sering menyalahkan wanita kerana perceraian, ini tidak membantu proses pemulihan bagi wanita.

Kepentingan sokongan keluarga sangat berperanan, di mana ahli keluarga seperti datuk nenek, bapa saudara dan ibu saudara kanak-kanak harus berada di sisi mereka pada waktu-waktu sukar untuk mengelakkan anak-anak tersebut daripada mengalami parut emosi akibat perpisahan ibu bapa mereka. Berikutan itu, sokongan ini juga boleh membantu anak-anak terutamanya apabila ibu bapa mungkin tenggelam dalam masalah mereka sendiri yang akhirnya mengabaikan anak-anaknya. Apabila pasangan mengalami perceraian, sudah pasti ia memberi impak yang ketara kepada anak-anak, sama ada semasa proses perceraian sehingga ke peringkat dimuktamadkan, namun hubungan ibu bapa dan anak-anak tidak boleh terjejas.

Sebagaimana memetik kata-kata penulis terkenal Buku Life, the Truth, and Being Free Paperback Steve Maraboli: “The truth is unless you let go, unless you forgive yourself, unless you forgive the situation, unless you realize that the situation is over, you cannot move forward.”

Faktor kemanusiaan mendominasi
Dalam pada itu, ketika ditanya kepada Penasihat Pertubuhan Ilmuwan Dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN), Dr Hamidah binti Mat berkaitan isu ini, beliau berkata, walaupun hukum-hukum perkahwinan dan perceraian diperincikan dengan sebaiknya oleh para ulama, namun dalam menjalani kehidupan rumah tangga, faktor kemanusiaan sangatlah mendominasi. Oleh itu, Islam menjadikan mawaddah dan rahmah sebagai buah atau hasil perkahwinan. Selain faktor kasih sayang dan cinta, tegasnya, kemahiran-kemahiran sosial manusia sepertikomunikasi yang jelas, memahami keperluan pasangan sangatlah menjadi faktor terpenting dan utama.

Contohnya, suami dan isteri mestilah mempunyai ‘common sense’ yang tinggi antara satu sama lain. Pasangan yang mempunyai persefahaman yang baik, mampu untuk memahami walaupun tanpa kata-kata sekalipun. Common sense dalam perkahwinan dapat menyelesaikan pelbagai perkara remeh yang jika dipen dam, lama-lama akan menjadi barah yang membuahkan pergaduhan dan akhirnya menjadikan kehidupan rumah tangga sangat tidak selesa, hingga tercetusnya tragedi. Makanya, perceraian bukanlah jalan pertama untuk keluar daripada permasalahan rumah tangga, tetapi kasih sayang, cinta, rahmat, belas kasihan dan komunikasi yang baik perlu diutamakan.

Atriza Umar
Felo Nusantara Academy for Strategic Research

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast