najmil faiz mohamed aris
Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Pasca pandemik ketika ini diakui menyebabkan semua barang dan perkhidmatan naik harga kerana sektor ekonomi baru sahaja dibuka.

Timbalan Ketua Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, rakyat patut bersyukur kerana kerajaan tidak mengapungkan harga ayam di pasaran supaya bekalan ayam terus diperoleh dengan harga kawalan yang berpatutan.

Selain itu menurut beliau, kerajaan turut tidak menaikkan tarif elektrik dan sedia menampung subsidi elektrik sebanyak RM 5.8 bilion walaupun kos penjanaan tenaga kian meningkat.

“Di Indonesia, kerajaan Jokowi mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 17.6 peratus bagi setiap kWj untuk kediaman dan 36.6 peratus untuk bangunan kerajaan.

“Perdana Menteri faham ramai rakyat yang tengah susah untuk “survive” lebih-lebih lagi bila harga makanan asas meningkat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Najmil Faiz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, kerajaan telah memperuntukkan subsidi sebanyak RM77.3 bilion meliputi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung dan tarif elektrik.

“Ini adalah perbelanjaan subsidi tertinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan. Semua inisiatif ini adalah untuk meringankan beban Keluarga Malaysia,” katanya.

Pada Sabtu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, subsidi untuk bekalan keperluan merangkumi dua pertiga daripada jumlah keseluruhan subsidi pengguna sebanyak RM77.3 bilion meliputi harga petrol, diesel, minyak masak, tepung, elektrik, dan keperluan lain.

Jumlah yang diunjurkan juga termasuk RM5.8 bilion subsidi elektrik bagi separuh kedua tahun 2022 bagi memastikan tiada kenaikan tarif selepas 1 Julai. – MalaysiaGazette