KUALA LUMPUR — Pengumuman Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi untuk keluar parti tidak memberi sebarang implikasi kepada Bersatu.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Nasional, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, parti itu tidak menghalang keputusan bekas menteri itu sama sekali.
Malah, katanya, tanpa Mohamaddin pun ia tidak mengurangkan kekuatan parti itu di Lahad Datu dan Sabah.
“Kita kena ingat, Bersatu Lahad Datu dan Sabah ini lain kalau nak dibandingkan dengan negeri lain.
“Terima kasih lah atas kesudian menyertai kami tapi kami tidak terasa sebarang kehilangan pun apabila beliau (Mohammadin) pergi meninggalkan parti” katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Perikatan Nasional hari ini.
Mengenai Akta Anti Lompat Parti, ARMADA juga bersetuju dengan pendirian partinya dan berharap perkara itu diperhalusi secepat mungkin dan dibentangkan sebelum Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15).
Jelas beliau, ARMADA sedang menanti-nantikan draf terakhir pindaan tersebut yang boleh dibahaskan agar kestabilan dikecapi semula selepas PRU akan datang. – MalaysiaGazette