Abdul Razak Hussein sewaktu perasmian Perpustakaan Tun Abdul Razak pada 29 Julai 1972.

BERSEMPENA 100 tahun ulang tahun kelahiran Tun Abdul Razak pada tahun ini, generasi hari ini seharusnya mengenang kembali jasa dan sumbangan beliau dalam pembangunan ilmu negara.Ketokohan kepimpinan Tun Abdul Razak dalam pembangunan ilmu bermula apabila beliau dilantik sebagai Menteri Pendidikan Pertama Negara pada tahun 1955.

Sudut pandang Tun Abdul Razak untuk membasmi kemiskinan menerusi pendidikan telah membawa kepada pemerkasaan penubuhan institusi pendidikan tinggi negara. Memetik ucapan Tun Abdul Razak sewaktu perasmian Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) tanggal 29 Julai 1972, telah menuntut pembentukan penuntut yang saujana pemikirannya serta dinamis semangatnya.

Ucapan ini dilihat bertepatan dengan kosep pembentukan graduan holistik sebagaimana terkandung di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025. Kehebatan sumbangan beliau terhadap pembangunan ilmu yang menjangkaui
sempadan masa, masih belum ada penggantinya.

Justeru, sebagai menghargai sumbangan besar beliau, nama beliau telah diabadikan di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM). Sudah pasti, fungsi perpustakaan seperti PTAR UiTM masih kekal relevan dalam pembangunan ilmu. Semangat dan wawasan Tun Abdul Razak perlu dijadikan contoh dan panduan dalam
mendepani cabaran pendidikan era “Education 5.0”.

Ledakan maklumat yang berlaku di penghujung era 1990-an telah mewujudkan masalah yang serius khususnya di kalangan pelajar dan penyelidik. Kesannya, sumber maklumat tersedia tidak dapat dikenalpasti dan disahkan kesahihan sumbernya. Lantaran itu, perpustakaan perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan platform rujukan yang lebih personal dan bersumberkan maklumat yang betul.

Selain itu, cabaran utama perpustakaan hari ini adalah memastikan kewujudannya sebagai sumber hebahan maklumat dan ilmu yang sahih serta kekal relevan. Justeru, pembangunan ilmu secara berterusan akan menyokong kepada pembentukan graduan yang holistik. Tambahan pula, graduan pada hari ini berdepan dengan situasi yang sangat mencabar dan tidak pernah dialami sebelumnya.

Graduan perlu sentiasa didedahkan kepada ilmu yang pelbagai dan relevan sebagai persiapan diri menempuh alam pekerjaan. Oleh itu, perpustakaan sebagai gedung ilmu dalam pelbagai format perlu memainkan peranan penting dalam pembentukan graduan yang menyeluruh ini. Usaha ini dapat dilihat dengan jelas apabila fungsi perpustakaan seperti PTAR UiTM telah banyak berubah.

Tidak dinafikan perubahan yang berlaku adalah seiring dengan perkembangan ilmu dan teknologi semasa. Pada masa yang sama, perpustakaan turut mengekalkan sumber rujukan ilmu terdahulu sebagai rujukan generasi akan datang. Perpustakaan hari ini lebih menghargai hasil penulisan tempatan khususnya hasil penulisan warga universiti. Hasil penulisan seperti ini terdiri daripada penulisan keperluan kursus akademik mahupun penyelidikan warganya.

Jika dahulu, hasil penulisan yang belum diterbitkan ini hanya boleh dirujuk secara fizikal, namun kekangan semasa seperti penularan wabak Covid-19 yang telah membataskan pergerakan fizikal, telah mendorong perpustakaan bertindak di luar kebiasaan. Impaknya, para pelajar dan penyelidik hari ini telah memperoleh manfaat yang besar apabila bahan penulisan tempatan telah boleh dirujuk kepada keseluruhan naskhah penulisan, kulit ke kulit, secara atas talian.

Koleksi dan perkhidmatan perpustakaan kini bersifat digital. Justeru, capaian ke atas koleksi dan perkhidmatan sebegini lebih pantas dan meluas sifatnya. Sudah pasti, perpustakaan kini sentiasa bersedia menawarkan perkhidmatan dan koleksi semasa menerusi medium yang lebih terkini.

Demi menjadikan pembelajaran sebagai budaya sepanjang hayat, ruang-ruang di dalam perpustakaan telah diubah kepada konsep pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif. Pembangunan ilmu dalam diri pelajar dan penyelidik tidak terhad untuk dibaca sebagai maklumat kendiri, malah perlu dibincangkan dan dibahaskan agar sifat pembudayaan ilmu akan terus dipupuk di kalangan penuntut.

Dengan berbantukan teknologi, pembangunan ilmu hari ini adalah bersifat global. Teknologi maklumat telah memudahcara pembangunan ilmu merentas sempadan negara dan bangsa. Majoriti perpustakaan kini telah dilengkapi dengan teknologi internet tanpa wayar yang sentiasa ditambah baik kelajuannya. Perpustakaan hari ini turut mengambil kira keperluan pembangunan dan penyebaran ilmu terhadap golongan kurang upaya.

Laluan khas untuk mempermudah urusan golongan ini di perpustakaan akan menjamin hak dan akses mereka terhadap ilmu. Penyediaan sumber rujukan yang mesra golongan kurang upaya seperti penyediaanbuku braille, gambar rajah timbul dan buku audio yang berfungsi sebagai pemudahcara ke atas capaian maklumat terhadap golongan ini telah turut disediakan di kebanyakan perpustakaan. Proses transaksi bagi tujuan pembayaran di perpustakaan turut berubah mengikut keperluan semasa apabila telah menggunakan aplikasi e-dompet mahupun perbankan atas talian.

Kesimpulannya, aspirasi Tun Abdul Razak dalam memajukan bangsa menerusi pembangunan ilmu telah memacu perubahan yang signifikan terhadap fungsi perpustakaan. Aspek pendigitalan telah menjadikan perpustakaan berdaya saing dan kekal relevan menyokong hasrat pendidikan negara. Lebih daripada itu, perpustakaan perlu dilihat sebagai pusat pemangkin budaya ilmu buat semua golongan pelajar dan penyelidik, termasuk golongan kurang upaya.

Asmah Sabtu
Pustakawan Kanan
Perpustakaan Tun Abdul Razak
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast