KUALA LUMPUR – Golongan belia digalak menonton tayangan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang disifatkan mampu membina jati diri dan semangat cintakan negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, banyak perkara bermanfaat dapat diteladani menerusi filem berkenaan dan ia sekali gus mampu menjadikan seseorang itu lebih faham maksud perjuangan.
Katanya, menerusi filem itu juga golongan belia dapat dididik agar menjadi seseorang yang tahu menilai pengorbanan dan pembebasan negara dan bangsa daripada penjajah.
“Ramai orang tahu pasal Mat Kilau tapi, tak ramai orang faham tentang perjuangan dan cabaran yang dihadapinya.
“Filem ini telah membangkitkan semangat perjuangan orang-orang Melayu khususnya dari segi semangat, maruah bangsa Melayu itu sendiri.
“Apa yang ditonjolkan dalam filem ini sekali gus memberi impak kepada penonton agar mereka tidak membenarkan bangsa dijajah semula sebagai mana yang berlaku di zaman Mat Kilau,” katanya yang telah menonton filem tersebut.
Lian Ker yang juga Naib Presiden MCA berkata, Mat Kilau merupakan seorang yang dipilih untuk memimpin masyarakat di zamannya dan disebabkan keberaniannya itu juga tanggungjawab yang digalas dilaksanakan sebaik mungkin.
Tambahnya, apa yang berlaku di zaman Mat Kilau perlu berlaku di zaman ini yang mana masyarakat harus akur dengan keputusan yang dibuat oleh kepimpinan mereka.
“Semangat yang dibawakan oleh Mat Kilau adalah cintakan tanah air dan juga membela maruah bangsa dan negara.
“Mungkin cerita Mat Kilau ini perlu dibuat secara bersiri dalam Netflix dan sebagainya. Cerita ini walaupun lebih kepada aksi tapi, ini adalah satu permulaan Mat Kilau lagenda cintakan tanah air dan bangsa.
“Tahniah kepada mereka yang terlibat dalam menjayakan filem Mat kilau ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette