KUALA LUMPUR – Bagi memastikan tahap profesionalisme warga pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di tahap terbaik, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan dana sejumlah RM1.5 juta.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu bertujuan untuk memberikan latihan dan pembangunan komprehensif bagi warga pendidik MARA.
“MARA telah berusaha untuk meningkatkan taraf kemahiran agar para pendidik daripada institusi MARA ini dapat ditingkatkan dan tahap capaian mereka berada pada tahap yang profesional.
“Inisiatif ini diharap dapat memastikan kualiti pendidikan di institusi pendidikan MARA (IPMA) sentiasa relevan dan setanding dengan tahap pendidikan di negara-negara maju,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Pendidik MARA 2022 di ibu negara, hari ini.
Tambah Mahdzir, peruntukan itu boleh digunakan 10,485 warga pendidik di bawah agensi itu bagi memastikan kualiti pendidikan di Institusi Pendidikan MARA (IPMA) sentiasa releven malah setanding dengan tahap pendidikan di negara ini.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata sejumlah 4,336 warga pendidik MARA telah ditawarkan peluang melanjutkan pengajian ke pelbagai peringkat lebih tinggi seperti Ijazah Doktor Falsafah (PHD), Sarjana, Sijil Profesional, Sijil Kemahiran dan Diploma Pendidikan.
Jumlah itu diperolehi MARA dari tahun 2002 sehingga 2020.
Menurut Mahdzir lagi, MARA sentiasa peka dan berusaha bagi memastikan kelancaran dalam penyampaian ilmu kepada pelajar melalui penjagaan serta penaiktarafan kemudahan infrastruktur di pusat pendidikan MARA.
Hal ini tambah Mahdzir lagi, inisiatif ini penting kerana dengan inisiatif inilah pembelajaran dalam kalangan pelajar akan menjadi lebih efisien dan sistematik.
“Melalui projek naik taraf fizikal, kita dapat memastikan kesemua pelajar IPMA seramai 111,210 orang akan mendapat kemudahan pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette