KUALA LUMPUR – Tidak berpuas hati akibat disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seorang lelaki bertindak terbalikkan kenderaan pacuan empat roda milik jabatan itu dengan menggunakan jengkaut.
Kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku ketika sepasukan anggota JPJ Cawangan Keningau, Sabah ingin melakukan operasi di Jalan Kepayan, dekat Kampung Magatang.
Menurut sumber yang diperolehi, anggota terbabit mengesyaki sebuah jengkaut yang mencurigakan dan telah menahannya untuk tujuan pemeriksaan, sebelum pemandunya didapati tidak memiliki lesen memandu kelas F.
“Secara tiba-tiba pemandu itu didapati tidak berpuas hati selepas saman dikeluarkan dan telah melanggar kenderaan jabatan. Pemandu juga mengugut untuk melanggar anggota penguatkuasa JPJ Cawangan Keningau.
“Bagaimanapun, semua anggota sempat menyelamatkan diri dan segera menghubungi pihak polis,” katanya.
Terdahulu, beberapa video berhubung insiden itu tular di media sosial jelas memaparkan anggota JPJ cuba memujuk pemandu jengkaut terbabit, namun tidak diendahkan.
Tambah sumber, kenyataan mengenai kejadian itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette