Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – UMNO melakukan keputusan betul apabila menggugurkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kerana ia bertepatan dengan tanggungjawab dan amanah baharu yang perlu digalas oleh Ahli Parlimen Pasir Salak itu.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, seharusnya selepas digugurkan, Tajuddin sepatutnya menumpukan perhatian kepada tugas baharunya sebagai Duta Malaysia ke Indonesia.

Oleh yang demikian, katanya, sebagai duta Tajuddin sewajarnya bersikap lebih profesional kerana tugas dan tanggungjawab sebagai seorang duta menuntut peranan yang lebih kompleks.

”Logiknya, takkanlah beliau perlu berulang-alik dari Indonesia ke Malaysia semata-mata untuk hadir mesyuarat MKT UMNO. Sedangkan, tugas, peranan dan tanggungjawab seorang duta besar perlu perhatian yang sepenuhnya.

“Tugas seorang duta besar peranannya, berat amanah yang perlu ditanggung. Duta bukan tugas sensasi, kontroversi dan penuh glamour.

“Tajuddin perlu fokus perkara lebih besar, lagipun pengesahan pelantikan sebagai duta diumumkan sendiri oleh beliau,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dr Awang Azman Awang Pawi

Beliau berkata demikian, merujuk kepada kenyataan-kenyataan kontroversi yang dibuat oleh Tajuddin menerusi sidang medianya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Awang Azman percaya ahli-ahli UMNO akan menilai Tajuddin menerusi dakwaan-dakwaan yang telah dibuatnya.

“Sebenarnya ini lebih menyerlahkan sikap sebenar Tajuddin terhadap UMNO. Semakin beliau buat kenyataan semakin terserlah sikap sebenarnya terhadap UMNO

“Menceritakan hal dalaman UMNO sedangkan beliau faham itu apa yang dikatakannya melibatkan strategi UMNO. Jadi orang boleh menilai sendiri, termasuk ahli,” tambah beliau.

Tajuddin antara lain baru-baru ini mendakwa mendakwa Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetuai gerakan ahli-ahli Parlimen parti itu menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, beliau turut mendakwa, Ahmad Zahid mahu menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), selain mengesahkan beliau sebagai menjadi saksi hidup yang mengetahui gerakan untuk menjatuhkan Presiden UMNO tersebut. – MalaysiaGazette