KUALA LUMPUR – Pasukan debat Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dinobatkan sebagai johan Pertandingan Debat Nuklear tahun 2022 turut meraih anugerah pendebat terbaik peringkat akhir pertandingan tersebut.
Pasukan UPM mengatasi enam pasukan pendebat dari Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) lain pada pertandingan yang berlangsung sejak 28 Jun lalu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Pada pusingan akhir, pasukan UPM sebagai kerajaan telah bertemu pasukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai pembangkang dengan usul perdebatan ‘Bebas Karbon 2050: Sudah Tiba Masanya Malaysia Mengimplimentasikan Loji Jana Kuasa Nuklear’.
UPM yang dibarisi empat pendebat iaitu Nur Ain Aqilah Rosli, Muhammad Hakim Nor Zamani, Iskandar Zikry Zakaria dan pendebat simpanan Muhammad Alif Mohd Roaim pulang dengan piala pusingan dan wang tunai RM3,000 serta sijil pencapaian.
Sementara, USIM yang muncul sebagai Naib johan pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan sijil pencapaian.
Sementara itu, anugerah pendebat terbaik yang dirangkul oleh pendebat UPM, Nur Ain Aqilah yang membawa pulang plak dan sijil kemenangan.
Mengulas mengenai kemenangannya itu, Nur Ain berkata, kejayaannya itu menjadi titik
permulaan untuk beliau dan Kelab Debat Bahasa Melayu UPM (KDBM Putra) melangkah lebih jauh.
“Saya sangat bersyukur atas penerimaan anugerah ini setelah sekian lama saya berusaha untuk memantapkan gaya perdebatan. Selain itu, UPM juga sudah agak lama berehat menjuarai mana-mana pertandingan debat,” katanya.
Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), Raja Abdul Aziz
Raja Adnan; Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB),
Noraishah Pungut dan Pengarah Bahagian Pengurusan Maklumat Agensi Nuklear
Malaysia, Habibah Adnan. – MalaysiaGazette