Aksi pemain beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sewaktu menentang pasukan dari bereguJepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi pada perlawanan pusingan separuh akhir Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ,02 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Cabaran pasukan tuan rumah di saingan Terbuka Malaysia berakhir pada malam ini, selepas beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas di pusingan separuh akhir.

Hasrat beregu di kedudukan keenam dunia untuk mencipta kejutan menentang Juara Dunia 2021, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi tidak kesampaian apabila tewas 23-21, 9-21 di Arena Axiata di sini hari ini.

Walaupun memberikan tentang sengit dan mendahului 18-14 pada set pertama, namun mereka gagal mengambil peluang itu untuk mencipta kemenangan, manakala set kedua menyaksikan beregu Jepun  menguasai perlawanan dari awal lagi.

Kekalahan kepada beregu kedua negara itu, turut menyaksikan Aaron-Wooi Yik, yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 masih kempunan untuk meraih gelaran Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sulung mereka.

Satu-satunya gelaran beregu lelaki (tidak termasuk acara berpasukan) yang pernah dimenangi oleh Aaron-Wooi Yik setakat ini adalah pingat emas Sukan SEA 2019 di Filipina, manakala mereka juga pernah terkandas di final enam Jelajah Dunia, termasuk All England 2019 dan Terbuka Thailand 2020.

“Kita memang sedang mendahului ketika mata penting pada set pertama, tetapi masalah yang sama sentiasa berulang. Kita kena kenal pasti kenapa ia terjadi dan menyelesaikan masalah itu,” kata Aaron kepada pemberita.

Mereka mara ke pusingan separuh akhir selepas menyingkirkan beregu veteran Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-13, 20-22, 21-19 semalam.

Terdahulu, satu lagi beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tewas 14-21, 12-21 kepada beregu ranking ketujuh dunia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.

Kali terakhir wakil Malaysia merangkul gelaran beregu lelaki di kejohanan tersebut adalah pada edisi 2014, apabila Goh V Shem-Lim Khim Wah muncul juara.

Sebagai ganjaran mara ke separuh akhir, setiap beregu akan menerima wang hadiah kemenangan sebanyak US$9,450 (lebih kurang RM41,600). – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast