Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan pada sekitar paras semasa antara 4.40 dan 4.41 berbanding dolar US pada minggu depan, dengan tumpuan ke atas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadualkan menjelang 6 Julai.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa BNM mungkin akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) berikutan kegawatan Indeks Harga Pengguna yang mencecah 2.8 peratus pada Mei.

“Oleh itu, disebabkan OPR semasa yang ditetapkan pada 2.00 peratus, kadar faedah sebenar telah memasuki wilayah negatif. Dalam hal ini, terdapat justifikasi bagi OPR yang lebih tinggi.

“Mungkin, tanggapan kenaikan OPR pada minggu depan akan membantu menyokong ringgit,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding dolar US susulan pembetulan teknikal akibat aktiviti pengambilan untung dan pendirian Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang agresif dalam meningkatkan kadar faedah.

Ringgit menyusut berbanding dolar US kepada 4.4060/4085 semalam daripada 4.4010/4045 yang direkodkan semasa minggu sebelumnya.

Ringgit bagaimanapun diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dari Jumaat ke Jumaat.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1596/1618 daripada 3.1710/1740 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.2483/2504 daripada 3.2590/2621 sebelum ini.

Ia juga menokok berbanding pound Britain kepada 5.3163/3193 daripada 5.4128/4171 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5060/6086 daripada 4.6444/6481. – BERNAMA