Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberikan projek-projek kepada kontraktor-kontraktor Muslim terjejas yang terbukti cekap dan berintegriti dalam usaha menyelamatkan kontraktor Melayu daripada gulung tikar.

Selain itu, kerajaan dicadangkan memansuhkan faedah bank yang ditanggung oleh para kontraktor dan usahawan terjejas serta memperkasakan inisiatif suntikan modal secara strategik kepada usahawan terjejas dan usahawan baharu di bawah MARA, TERAJU atau mana-mana agensi berkaitan.

Ia merupakan cadangan yang dikemukakan oleh Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) untuk menyelamat kontraktor Melayu yang terjejas teruk sejak tahun 2018 akibat pelbagai faktor.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, bantuan itu perlu dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan perniagaan 50,000 kontraktor terbabit tidak terus lumpuh.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, untuk melegakan tekanan kepada rakyat yang kesempitan kewangan ketika ini, pihaknya mencadangkan agar kerajaan melupuskan hutang pelajaran berjumlah RM7.4 bilion kepada peminjam-peminjam sedia ada dengan syarat-syarat khusus.

Pembela juga mencadangkan kerajaan melupuskan cukai hiburan berjumlah 25 peratus secara khas bagi mana-mana filem tempatan yang mengangkat sejarah negara melalui syarat-syarat khusus.

Cadangan ini juga dibuat mengambil kira tekanan pengusaha-pengusaha filem dengan kos cukai yang dikenakan.

“Sepatutnya kerajaan memberikan geran kepada penerbit agar banyak lagi tokoh-tokoh pejuang negara dapat diangkat kembali.

“Pembela mengingatkan kepada kerajaan serta seluruh barisan wakil rakyat agar benar-benar meletakkan jiwa dan raga untuk menyelesaikan isu ekonomi rakyat yang sangat membimbangkan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette