Penerima Dana Pembiayaan Dananita, SPIKE dan Unidental bergambar bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah di Majlis penutup Karnival Hari Usahawan Negeri Pahang Sempena Minggu PMKS 2022 dan Penyerahan Dana Skim Pembiayaan Kerajaan Usahawan Mikro Pahang (i-Push) serta Kecemasan PKS (SMEEF) 2.0 di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Kerajaan Pahang memperuntukkan RM250,000 untuk membantu seramai 80 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri itu memperkenal dan memasarkan produk mereka.

Melalui Karnival Hari Usahawan Negeri Pahang yang diadakan selama tiga hari di Serambi Teruntum di sini para usahawan  terlibat didedahkan dengan pelbagai peluang keusahawanan termasuk program daripada agensi-agensi berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri  menyediakan platform terbaik untuk para usahawan memajukan pasaran bagi produk masing-masing supaya setanding produk bertaraf dunia.

Datuk Nazri Ngah .

“Sebenarnya seramai 150 usahawan dari serata Pahang memohon untuk menyertai karnival ini, tapi kita hanya boleh terima 80 penyertaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Hari Usahawan Negeri Pahang Sempena Minggu PMKS 2022 dan Penyerahan Dana Skim Pembiayaan Kerajaan Usahawan Mikro Pahang (i-Push) serta Kecemasan PKS (SMEEF) 2.0 di sini hari ini.

Sementara itu, Nazri memberitahu, pihaknya telah menerima sebanyak 1,100 permohonan bagi dana i-Push bagi seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah ketika merasmikan Majlis Penutup Karnival Hari Usahawan Negeri Pahang Sempena Minggu PMKS 2022 dan Penyerahan Dana Skim Pembiayaan Kerajaan Usahawan Mikro Pahang (i-Push) serta Kecemasan PKS (SMEEF) 2.0 di sini hari ini.

“Di tempat saya di Jerantut, seramai 88 pemohon telah siap di temu duga. Saya difahamkan, exco tempatan yang dipertanggungjawabkan juga kini dalam proses temu memanggil pemohon untuk temuduga bagi kawasan masing-masing dan dana dijangka boleh diagihkan dalam bulan ini,” tambah Nazri.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri kini dalam proses mewujudkan pusat teknologi pek atau pembungkusan retort bagi produk makanan yang dihasilkan usahawan di negeri ini.

“Belum ada lagi pusat retort di Pahang. Bila ia diwujudkan, kita akan jaga dari segi packaging, labelling dan pensijilan halal,” katanya.

Beliau juga memberitahu pihaknya telah mengenal pasti lokasi pusat yang akan dibangunkan itu di Jerantut namun ia bergantung kepada kelulusan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette