KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari ini menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa wujud kegiatan penculikan dan penyeludupan kanak-kanak dari negara ini ke negara jiran untuk tujuan penjualan organ mereka.
Ia merupakan mesej palsu yang pernah ditularkan lima tahun lalu dan kembali disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ketua Komunikasi Korporat Urusetia KPN, Polis Diraja Malaysia, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, PDRM telah mengesan sebaran mesej palsu berkenaan yang meminta masyarakat agar berwaspada dengan kejadian penculikan melibatkan kanak-kanak yang mana mereka diberi bahan terlarang sehingga tidak mampu bercakap dan dibawa menaiki lori ayam bagi tujuan pemindahan organ di negara jiran.
Katanya, dalam mesej tersebut juga menyatakan bahawa pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan dan menjumpai enam kanak-kanak berada di dalam kenderaan itu.
“Mesej berkenaan mendakwa tiga daripada kanak-kanak itu tidak boleh bercakap kerana telah disuntik dengan ubat kimia dan akan dihantar ke negara jiran untuk dibunuh serta organ dalaman mereka dijual,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, hasil siasatan dan semakan lanjut mendapati tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penculikan dan penjualan organ kanak-kanak seperti yang didakwa itu.
“Justeru, semakan polis juga sebenarnya mendapati mesej palsu tersebut telah tular sejak tahun 2017 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial kali ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan awam.
“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dengan berita-berita tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.
“Malah, mana-mana individu yang dikesan menyebarkan berita-berita palsu, boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” ujarnya. – MalaysiaGazette