Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim (tiga kiri) bersama peguam, Muhammad Kamil Abdul Munim (tiga kanan) berjalan keluar dari balai polis selepas selesai memberi keterangan berkenaan perhimpunan mahasiswa yang membantah kenaikan harga barang di di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil sembilan ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) dari PKR untuk dirakam keterangan berhubung menyertai Himpunan Kenaikan Harga yang tidak mendapat permit di sini pada 2 Julai lalu.

Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kehadiran enam individu pertama petang tadi untuk diambil keterangan oleh pegawai penyiasat kes berkenaan bagi membantu siasatan.

Siasatan dikendalikan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal memberitahu tentang perhimpunan itu dan tidak memberi notis berhimpun.

“Petang tadi, enam pemuda AMK dipanggil dan selesai dirakam keterangan daripada mereka mengenai penyertaan mereka dalam himpunan itu.

“Pada 6 Julai iaitu pada Rabu ini, seramai sembilan lagi individu berkenaan diminta untuk hadir ke Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada sesi jam 2.30 petang untuk dirakam keterangan berhubung perhimpunan di Pasar Seni,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu enam individu ahli AMK termasuk Adam Adli tiba ke pekarangan IPD Dang Wangi pukul 2.45 petang tadi sebelum memberi keterangan kepada polis.

Mereka ditemani tiga peguam termasuk Rabiatul Adawiyah Sulaiman.

Katanya, proses merakam keterangan itu adalah prosedur normal polis dan mereka dipanggil kerana menghadiri perhimpunan itu tanpa notis pemberitahuan kepada pihak berkuasa.

Katanya, kesemua enam individu yang diwakilinya telah memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang sesi rakaman keterangan petang tadi. – MalaysiaGazette