MELAKA – Bantuan zakat kepada kira-kira 9,000 penerima di negeri ini dinaikkan sekitar lima peratus sesuai dengan cabaran ekonomi ketika ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Md Rawi Mahmud berkata, peningkatan itu sudah bermula pada Mei lalu yang menyaksikan sekitar 9,000 asnaf di negeri ini menikmatinya.
“Zakat ini sebenarnya kita pun sudah mulakan kenaikan bantuan berkuatkuasa Aidilfitri lalu yang menyaksikan ia meningkat antara lima peratus ke bawah bagi setiap bantuan.
“Misalnya, bantuan bulanan dari RM200 kita naikkan kepada RM250 dan kit makanan dari RM40 ke RM50.
“Malah sekarang kita juga masih memikirkan untuk menambah jumlah itu sekiranya kutipan zakat kita terus mencatatkan peningkatan,” katanya ditemui media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Aidiladha Peringkat Parlimen Kota Melaka di Masjid Kampung Hulu di sini hari ini.
Sumbangan disampaikan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Md Rawi berkata, pada tahun ini, MAIM menyasarkan kutipan zakat meningkat kepada RM113 juta berbanding RM105 juta sebelum ini.
Sebelum ini, media melaporkan Pakar Kewangan Islam, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berpandangan bantuan zakat perlu dinaikkan dengan mengambil kira kadar inflasi semasa dan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata, langkah itu bagi memastikan rakyat yang tergelincir ke kelompok asnaf dapat dibantu. – MalaysiaGazette