Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. Foto FAREEZ FADZIL, 12 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui operasi bersepadu membendung ketirisan minyak masak.

Komitmen itu dinyatakan sendiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Komitmen itu dinyatakan selepas beberapa jam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu mengerah PDRM dan dan Angkatan Tentera Malaysia memerangi ketirisan barang subsidi khususnya minyak masak.

“Sebagai persiapan ke arah operasi itu, satu perjumpaan melibatkan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dengan ketua setiausaha KPDNHEP telah diadakan hari ini.

“Dalam perjumpaan berkenaan, perlaksanaan operasi pengauditan dan pemutihan minyak masak paket melalui Op Bersepadu yang mana tangkapan dan rampasan yang dilaksanakan kelak akan diserahkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut telah dipersetujui,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Bukit Aman malam ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Tentera dikerah gempur kilang seleweng minyak masak subsidi – PM

Tambah Acryl Sani, sebelum ini, PDRM melalui JKDNKA telah melaksanakan Op Kontraban dalam usaha membendung ketirisan barangan bersubsidi.

Malah bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu sejak Januari hingga Jun lalu, barangan bersubsidi yang diseleweng bernilai RM38 juta atau lebih tepat RM38,247,518 telah berjaya dirampas oleh JKDNKA.

“Daripada jumlah tersebut, rampasan melibatkan minyak masak sahaja adalah bernilai RM854,252 yang mana usaha bersepadu dengan pihak KPDNHEP merupakan langkah positif bagi PDRM menyumbang secara lebih aktif dalam membendung ketirisan subsidi.

“Oleh demikian, PDRM menyambut baik kerjasama Op Bersepadu yang dijalin dan akan menyokong penuh hasrat kerajaan untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia dalam menghadapi cabaran kos sara hidup,” tegasnya.

Terdahulu dalam kenyataan awal, Ismail Sabri menyatakan ATM telah dikerahkan bersama KPDNHEP dan PDRM untuk menggempur kilang-kilang pembungkusan sehingga ke sempadan negara untuk memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Perdana Menteri berkata, langkah itu demi memastikan peruntukan subsidi minyak masak sebanyak RM4 bilion yang disalurkan pada tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna.

“Kerajaan akan melaksanakan tindakan tegas termasuk membatalkan kuota dan lesen yang telah diberikan kepada pengilang dan pembungkus juga aan diambil dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negaraa hari ini.

Mesyuarat itu telah membuat keputusan akan melaksanakan operasi pengauditan dan pemutihan secara komprehensif, meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket yang beroperasi di seluruh negara. – MalaysiaGazette