Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menunjukkan pelan keadaan lokasi pencemaran bau kimia di Kampung Semarang, Dengkil, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 JULAI 2022.

DENGKIL – Atas maklumat orang awam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menemui pusat pelupusan sampah haram yang dijadikan tempat pembuangan sisa bahan toksik di Cybersouth dan Presint 5, Putrajaya.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia menyebabkan pencemaran bau kepada penduduk perumahan sejak seminggu lalu.

“Penduduk tempatan memaklumkan terdapat pencemaran bau seakan-akan bau kencing kucing atau tikus terutama pada waktu malam dan awal pagi.

“Bau yang amat ketara dapat dihidu apabila melalui jalan pintasan Dengkil di kawasan Taman Emas, Taman Kristal dan Presint 5, Putrajaya,” katanya dalam sidang media di tapak pelupusan sampah haram di  Jenderam Hilir hari ini.

Kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil sampel toksik di lokasi pencemaran bau kimia di Kampung Semarang, Dengkil, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 JULAI 2022.

Tambah Tuan Ibrahim, siasatan telah digerakkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mulai 30 Jun lalu meliputi semua punca-punca berpotensi seperti kilang, tapak pelupusan sisa lengai, rizab sungai, premis barang lusuh, saluran paip gas, bengkel, kawasan pertanian Revolusi Hijau Dengkil dan aktiviti penternakan bagi mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan.

Justeru itu, semalam, hasil maklumat orang awam, JAS telah berjaya menjejaki lokasi sebenar punca pencemaran bau kimia iaitu di lokasi tapak pelupusan sampah haram di Kampung Semarang berdekatan Kampung Orang Asli Bukit Jenuk di Sepang.

Kawasan tersebut, menurut Tuan Ibrahim, lokasi itu dikenali sebagai Lombong Nam Tak berkeluasan 1.3 hektar dan terletak kira-kira 700 meter daripada jajaran Sungai Langat.

Hasil siasatan, JAS telah menemui sebuah kawasan paya yang dipenuhi sisa kimia bercampur aduk dengan sampah domestik serta sisa-sisa plastik.

Berdasarkan anggaran, terdapat 100 tong besi (metal drum) berkapasiti 200 liter mengandungi sisa kimia yang disyaki buangan terjadual (BT) berbentuk cecair, separa-cecair dan pepejal berwarna.

Selain itu, terdapat sisa-sisa bekas Intermediate Bulk Container (IBC) yang telah dipotong yang mana isi kandungannya dialirkan ke sebuah lubang besar yang telah digali oleh pihak yang melupuskan BT tersebut.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat oleh JAS setakat ini.

Ditanya sama ada JAS sudah mengenal pasti syarikat bertanggungjawab, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya masih dalam proses siasatan.

“Kita sudah ambil bukti-bukti sama ada pada tong sisa toksik, punca ataupun nama syarikat tersebut. Kita akan buat siasatan terhadap bukti-bukti yang kita kumpulkan dalam kadar segera.

“Ada beberapa indikator terutamanya bahan apa yang dibuang di sini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, JAS juga, katanya, sedang membuat penilaian sekarang terhadap tapak pelupusan sisa toksik berkenaan. – MalaysiaGazette