Najib Razak

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia hanya perlu ‘tekan butang’ sekiranya benar-benar mahu kestabilan, bidas Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang menggesa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar ‘bersara’ kerana mendakwa ahli Presiden UMNO itu menjadi dalang di sebalik ketidakstabilan politik negara.

Beliau berkata, persaraan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu akan memulihkan kestabilan negara.

”Zahid dalang yang akan terus berkomplot kerana terlalu terdesak mahu menjadi perdana menteri. Kamu liabiliti kepada semua di keliling kamu kerana fokus kamu hanya mencipta ketidakstabilan. “Lebih baik kamu bersara supaya kestabilan kembali kepada negara,” kata Wan Saiful.

Najib yang sinikal dengan kenyataan Wan Saiful itu berkata: “Sekarang ada hati nak sembang kestabilan pulak?”.

Soal bekas perdana menteri itu, parti mana yang tipu manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 dan parti mana yang buat Langkah Sheraton.

Parti mana yang curi ramai ahli Parlimen dengan kaedah ‘scheme of things‘ dan parti mana yang cuba kumpul 119 ahli Parlimen untuk tumbangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

”Sekiranya benar-benar mahu kestabilan? Mudah saja. Tekan butang,” kata Najib sambil bertanya Wan Saiful bertanding di Parlimen mana nanti. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast