logo plus

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sentiasa menjalinkan kolaborasi dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam meningkatkan tahap keselamatan di lebuh raya termasuklah melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan dan taktik pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ini termasuklah mewujudkan pasukan Peronda Polis Lebuhraya (EMPV), pasukan PLUSRonda dengan kekuatan 500 anggota dan lain-lain lagi.

”Kehadiran pasukan EMPV di lebuh raya adalah bagi membantu pelanggan lebuh raya PLUS yang menghadapi sebarang kesulitan selain pengurusan kemalangan.
Selain itu, pasukan EMPV juga memantau sebarang kesalahan lalu lintas dan aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di lebuh raya,” kata PLUS dalam kenyataan di sini.

PLUS menjawab aplikasi WhatsApp dan media sosial yang tular dengan menasihatkan supaya pengguna Lebuhraya Utara-Selatan tidak berhenti rehat di R&R atau mana-mana hentian rehat di lebuh raya bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam taktik sindiket trak tunda dan bengkel yang tidak
bertanggung jawab.

Tegas PLUS, keselamatan pelanggan lebuh raya adalah keutamaannya dan syarikat ini sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu yang boleh mendatangkan kebimbangan kepada pelanggannya.

Sekiranya pelanggan lebuh raya mengalami sebarang kesulitan atau mengesyaki berlakunya sebarang aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di lebuh raya, sila hubungi dan laporkan kejadian tersebut kepada Pusat Pemantauan Trafik PLUS melalui talian PLUSLine 1800-88-0000.

Pusat ini yang beroperasi 24-jam sehari akan menyalurkan informasi dan koordinasi bantuan dengan anggota PLUSRonda atau pihak berkuasa yang berkaitan.

Pelanggan lebuh raya juga dinasihatkan untuk segera menghubungi Pusat Pemantauan Traffik PLUS di talian yang sama, sekiranya mengalami masalah kerosakan mekanikal di lebuh raya, ujarnya. – MalaysiaGazette