Presiden BPN, Datuk Ibrahim Yahaya.

KUANTAN – Sebuah parti parti politik baharu yang masih dalam proses pendaftaran, Barisan Penyatuan Nasional (BPN) bersedia bertanding kesemua kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

Bagaimanapun, BPN, menurut presidennya, Datuk Ibrahim Yahaya pihaknya kini masih menunggu kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Jelas Ibrahim,  agenda penubuhan BPN yang didakwa ahlinya terdiri daripada peniaga ialah bagi memperkukuh ekonomi rakyat serta memastikan masyarakat tidak terbeban dengan kos sara hidup.

“Selepas pendaftaran selesai kita bersedia untuk bertanding di semua 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, keputusan keputusan bertanding ini dengan menggunakan dana sendiri.

“BPN serius mahu menyelesaikan isu-isu seperti makanan asas dan menyusun strategi untuk mengatasi pelbagai masalah rakyat.

“Kita mahu membela nasib rakyat, kita lihat politik sekarang kucar kacir dan rakyat dibiarkan serta dihimpit dengan tekanan hidup termasuk inflasi makanan dan harga yang melambung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara BPN dan Pertubuhan Maju dan Amanah (Pemanah) di sini hari ini.

Ibrahim berkata, pelbagai manfaat bakal dinikmati menerusi melalu persefahaman yang dimeterai antara BPN dan Pemanah.

“Malah, kita juga menerima penyertaan daripada semua bangsa. BPN juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik di Malaysia.

“Jadi, kita akan memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada persefahaman antara BPN dengan Pemanah,” ujarnya lagi.

Menurutnya, antara hasrat BPN termasuk menyediakan rumah secara percuma kepada isi rumah berpendapatan RM1,500 ke bawah.

Selain itu, pihaknya bersedia membantu mereka yang memerlukan untuk bantuan menunaikan ibadat haji dan umrah, perubatan serta bantuan kepada golongan orang kelainan upaya. – MalaysiaGazette